MP BN juga minta menteri dedahkan surat Aabar BVI

0
57



Seorang anggota Parlimen BN turut meminta Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani untuk mendedahkan kepada umum berkenaan surat yang membuktikan Aabar yang didaftarkan di Virgin Island British (BVI) milik International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dari Abu Dhabi.

Datuk Dr Marcus Mojigoh berkata, langkah itu akan menghentikan spekulasi yang dimainkan oleh ahli-ahli politik pembangkang mengenai isu itu.

“Jika surat itu tidak diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), jika ia dibenarkan oleh undang-undang untuk berbuat demikian (pendedahan dokumen itu), mengapa tidak?” kata ahli Parlimen Putatan kepada Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini dalam laporan eksklusifnya, memetik Johari sebagai mendedahkan kewujudan sepucuk surat yang mengesahkan Aabar Investments PJS Ltd (BVI) anak syarikat IPIC, walaupun syarikat Abu Dhabi itu menafikannya.

Katanya, berdasarkan rekod dibekalkan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum perjanjian penyelesaian, Aabar Investments PJS Ltd (BVI) ialah anak syarikat IPIC.

“Malah, ia disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands dalam surat bertarikh 11 Ogos 2016,” katanya kepada Malaysiakini.

Pendedahan yang berpandukan sumber yang biasa dengan perkara itu menjurus kepada persoalan mengapa pasukan Malaysia memilih untuk penyelesaian daripada membiarkan proses timbang tara antara 1MDB dan IPIC menghasilkan keputusan apabila mempunyai bukti yang kukuh.

Susulan itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Johari patut mendedahkan surat yang didakwa pengesahan daripada Pendaftar Hal Ehwal Korporat BVI supaya orang ramai boleh membantu beliau dan kerajaan berkaitan isu itu.

Johari juga, katanya, patut mendedahkan jejak aliran wang yang didakwa secara penipuan dipindahkan kepada syarikat yang salah, supaya orang ramai boleh menentukan siapakah yang merupakan benefisiari akhirnya.

Tambah Rafizi, Johari patut meletak jawatan jika beliau tidak boleh mendedahkan surat itu, seperti bekas Menteri Kewangan II Datuk Husni Hanadzlah, yang selepas peletakan jawatannya, menimbulkan persoalan mengenai 1MDB di Parlimen.

Sementara itu, Marcus yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, Johari tidak sepatutnya bercanggah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu.

“Perlu ada rundingan dan kerjasama antara Johari dan perdana menteri,” jelasnya.

[Baca berita penuh]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here