MP nafi ada kaitan dengan individu di belakang pelobi AS

0
38



Dua anggota parlimen Umno menafikan mempunyai kaitan dengan pelobi AS yang dibayar untuk bertindak bagi pihak Putrajaya.

Perkembangan itu berlaku ekoran kenyataan Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, sebelum ini yang mendakwa Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenali individu di sebalik penggunaan pelobi berkenaan.

Individu itu dikatakan mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor Bahru.

Kata Rafizi, individu berkenaan adalah orang yang sama menandatangani perjanjian sebagai pengarah syarikat Godfrey Group Ltd – yang menurut dokumen dikemukakan Jabatan Keadilan AS – mengupah firma 45 Group dan ketua pegawai eksekutifnya, Healy Baumgardner-Nardone sebagai pelobi untuk kerajaan Malaysia.

Undang-undang AS memerlukan mana-mana pelobi yang bertindak bagi pihak kepentingan asing supaya berdaftar dengan DOJ mengikut Akta Pendaftaran Ejen Asing (Fara). Tindakan itu membolehkan orang awam meneliti semua dokumen yang berkaitan.

Portal Malay Mail Online memetik Shahrir sebagai berkata beliau mengakui bertemu dengan individu yang dimaksudkan Rafizi dan menyedari aktiviti NGO terbabit adalah untuk membantu golongan warga emas dan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Bagaimanapun Shahrir dilaporkan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai aktiviti peribadi individu berkenaan.

“(Tetapi) saya tak tahu kaitannya – jika ada – dengan Godfrey Group atau saya sendiri tahu mengenai Godfrey Group itu sendiri,” kata anggota parlimen Johor Bahru itu kepada portal berkenaan.

Begitu juga dengan Nur Jazlan. Kata timbalan menteri dalam negeri itu, beliau hanya mengenali individu terbbait atas kedudukannya sebagai ketua sebuah NGO.

“Saya tak tahu aktiviti dia secara peribadi,” katanya dipetik portal berkenaan.

Dalam kenyataannya pagi tadi, Rafizi mendakwa ketua NGO berkenaan adalah orang yang sama bertindak sebagai pengarah Godfrey Group berdasarkan kepada alamat yang ditemui pada rekod DOJ mengenai 45 Group.

Dokumen itu menyatakan Godfrey Group ditubuhkan di British Virgin Islands namun meletakkan sebuah alamat di Johor Bahru sebagai pejabat berdaftarnya.

Pejabat PM juga nafi

Rafizi mendakwa individu berkenaan turut mengenali Shahrir dan Nur Jazlan berdasarkan beberapa gambar serta laporan berita mengenai kehadiran pemimpin Umno itu dalam aktiviti sebuah NGO.

Shahrir juga dinyatakan seorang daripada pengarah NGO berkenaan.

Justeru Rafizi menggesa Shahrir menyatakan sama ada bekas menteri itu mempunyai sebarang penglibatan dalam Godfrey Group.

Nur Jazlan pula diminta menjelaskan kaitan individu berkenaan dengan pemimpin Malaysia seperti didakwa Godfrey Group yang mengaku bertindak bagi pihak kerajaan.

Malaysiakini menghubungi Shahrir dan Nur Jazlan selepas menerima kenyataan Rafizi. Malaysiakini juga cuba mendapatkan komen ketua NGO yang dimaksudkan. Setakat ini belum ada sebarang reaksi daripada mereka.

Sementara itu Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad menafikan Malaysia melantik Godfrey Group, 45 Group, atau Baumgardner-Nardone untuk bertindak sebagai pelobi kerajaan Malaysia.

“Kami sentiasa mengalu-alukan rakan dari seluruh dunia yang boleh menampakkan bahawa Malaysia mempunyai ekonomi mesra perniagaan yang berjaya dan terbuka kepada perdagangan dan pelaburan, serta didiami majoriti penduduk Islam yang sederhana di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, juga rakan kongsi dalam memerangi keganasan dan keganasan.

“Bagaimanapun, bertentangan dengan laporan media baru-baru ini Pejabat Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan, melantik atau berhubung dalam apa jua bentuk dengan Godfrey Group Ltd, 45 Group atau Healy Baumgardner-Nardone,” katanya pada Jumaat lalu.

[Baca berita penuh]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here