MP timbulkan keraguan serius terhadap SPRM

0
109



Keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 1MDB kerana ia di bawah siasatan polis menimbulkan keraguan terhadap kebebasan suruhanjaya itu, kata Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramkarpal berkata kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad baru-baru ini menunjukkan bahawa suruhanjaya itu boleh dipengaruhi oleh agensi kerajaan lain.

“Ini adalah precedent (kes pendahulu) yang paling bahaya yang perlu diperbetulkan dengan segera kerana kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan keraguan serius terhadap kebebasan SPRM,” katanya.

Dzulkifli semalam berkata SPRM menyerahkan siasatan berkaitan 1MDB kepada polis untuk mengelakkan pertindihan.

Polis pada 12 April lalu telah menyelesaikan siasatannya ke atas 1MDB dan menyerahkan kertas siasatannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk memutuskan sama ada pendakwaan akan dibuat.

Ramkarpal, berkata, ini adalah pengakuan tidak langsung SPRM bahawa mereka menahan siasatan, bukan kerana kekurangan bukti, tetapi kerana dipengaruhi oleh agensi kerajaan lain.

1MDB menjadi tumpuan sekali lagi selepas tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas lebih AS $ 1 bilion aset di Amerika Syarikat, yang dikatakan dibeli menggunakan dana 1MDB.

1MDB nafi sebarang kesalahan

Dzulkifli juga berkata badan anti-rasuah itu tidak mungkin terlibat kerana DOJ Amerika Syarikat tidak menghubungi SPRM untuk mendapatkan bantuan.

“Dzulkifli sepatutnya tahu bahawa tidak penting jika DOJ menghubungi SPRM dalam siasatan ke 1MDB. Apa yang penting adalah sama ada terdapat sebab untuk menyiasat 1MDB terlebih dulu,” kata Ramkarpal.

Dalam pemfailan terbarunya pada Khamis, DOJ memperincikan bagaimana Jho Low, seorang jutawan Pulau Pinang yang memainkan peranan dalam menubuhkan 1MDB, didakwa menyelewengkan ratusan juta daripada syarikat milik negara itu.

Dia didakwa menggunakan dana itu untuk membeli hartanah mewah, kapal layar, jet, lukisan dan barang kemas, termasuk kalung berlian 22 karat untuk isteri seorang “Malaysian Official 1” yang tidak dinamakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tahun lalu mengenal pasti Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai “MO1”.

Peguam kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor mengeluarkan kenyataan amaran kepada semua pihak yang memfitnah anak guamnya, manakala Low mendakwa tindakan saman DOJ adalah tidak berasas.

Juga dinamakan dalam saman DOJ ialah anak tiri Najib, Riza Aziz.

Najib berkata beliau tidak mengetahui tentang pengubahan wang haram melibatkan 1MDB dan menafikan semua dakwaan rasuah membabitkannya.

[Baca berita asal]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here