MTDC pupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar luar bandar

0
229
Advertisement

KUALA KEDAH: ​Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) terus komited dalam menggalakkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah luar bandar di Keda.

Menurut Pengerusi MTDC, Datuk Latt Shariman Abdullah, adalah penting untuk melatih dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran ini dalam melahirkan modal insan berminda keusahawanan.

Melalui program tanggungjawab sosial (CSR) MTDC, Program Perkongsian Teknologi dan Pembangunan Pelajar Sekolah Luar Bandar di Kuala Kedah akan melibatkan sekolah-sekolah di kawasan utara dalam projek berasaskan tanaman melalui inovasi menggunakan teknologi.

Projek ini antara lain menggalakkan syarikat penerima dana MTDC untuk terlibat dalam keusahawanan sosial, selain peranan MTDC dalam menyumbang kembali kepada komuniti.

“Kami mahu menanam sifat dan minat keusahawanan dalam kalangan pelajar yang secara tidak langsung akan melatih mereka untuk berdikari dengan menguasai kemahiran pertanian, pengurusan kewangan dan pemasaran produk berasaskan pertanian.

“Ini seterusnya akan mempromosikan kemahiran keusahawanan sebagai kerjaya pilihan serta sumber pendapatan alternatif selepas mereka tamat belajar,” kata Latt Shariman ketika ditemui Astro AWANI selepas Majlis Perasmian CSR MTDC di Sekolah Kebangsaan Haji Salleh Masri di sini hari ini.

Tiga syarikat yang terlibat dalam projek ini adalah Norsym Sdn Bhd – Projek Tanaman Cendawan Kukur, Serotech Sdn Bhd – Projek Tanaman Cilibangi dan Skyscraper Airhydro Sdn Bhd – Projek Tanaman Melon.

Syarikat-syarikat ini akan bekerjasama dengan sekolah-sekolah terpilih dalam menyediakan maklumat, mengendalikan kursus latihan, menyelia dan memantau projek masing-masing.

Projek berkenaan akan berlangsung dalam tempoh enam bulan dan melibatkan 13 sekolah di Kuala Kedah dari Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundor.

Dalam pada itu Latt Shariman berharap agar program ini mampu menjadi agen perubahan kepada masyarakat setempat.

“Dengan 130 orang pelajar yang terlibat ini, kita harap mereka akan menjadi satu ejen perubahan kerana kawasan Kuala Kedah adalah kawasan yang agak mundur dan tidak ada banyak peluang disediakan.

“Kita harap dengan bantuan daripada MTDC dan syarikat-syarikat yang terlibat dapat mengubah kehidupan mereka selepas ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here