MTDC terus jadi rakan kongsi usahawan, universiti – Nurhalim

0
235
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) akan terus menjadi rakan kongsi untuk pemain ekosistem termasuk usahawan tempatan serta universiti dalam konteks menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Nurhalim Yunus berkata, ia termasuk usahawan muda yang mahu membangunkan syarikat inovasi di pasaran antarabangsa.

Jelasnya, pengalaman sejak 25 tahun dahulu banyak memberi mereka pengalaman serta kejayaan dalam membantu syarikat mengembangkan perniagaan mereka.

Ujarnya, ia termasuk dalam bentuk teknologi pelaburan, rangkaian bersama usahawan serta bantuan pembangunan perniagaan selain faktor dana semata-mata.

“Sasaran sekarang berubah cepat. Cabaran kita kini bagaimana hendak membangunkan sebuah syarikat yang boleh bertindak cepat, membangunkan inovasi dengan cepat dan membawa produk dengan cepat.

“Kita perlu bekerjasama erat dengan semua pemain dalam ekosistem termasuklah pensyarah, penduduk, pembuat polisi dan semua rakyat Malaysia,” katanya pada Ekspo Ekonomi Kreatif dan Inovasi Kebangsaan 2017 (NICE 2017).

MTDC sebelum ini dilaporkan menerima peruntukan sebanyak RM95 juta daripada kerajaan untuk dijadikan dana kepada lima jenis pinjaman yang diuruskan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu untuk sepanjang tahun ini.

Nilai pinjaman itu membabitkan penyediaan Dana Pengkomersialan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) berjumlah RM40 juta, Dana Pemerolehan Teknologi (TAF) sebanyak RM10 juta serta masing-masing RM15 juta untuk Dana Permulaan Perniagaan (BSF), Dana Perkembangan Perniagaan (BGF) dan Dana Pembangunan Teknologi Halal (HTDF).

April lepas, MTDC memperkenal Akademi Latihan Usahawan Teknologi (TENTRA) baharunya yang akan menjadi entiti pembinaan kapasiti utama untuk usahawan teknologi serta pengkomersilan teknologi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here