MU bangkit benam Selangor

0
147
Advertisement



MELAKA: Melaka United (MU) bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Selangor 3-2 dengan ketiga-tiga gol dijaringkan pada separuh masa kedua pertembungan menarik Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Babak pertama permainan jelas lebih dikuasai The Red Giants dengan pelawat mencipta beberapa percubaan bahaya ke kubu tuan rumah sebelum jaringan pembukaan terhasil pada minit ke-25.

Gol terbabit dijaringkan pemain import dari Indonesia, Iham Udin Armaiyn berpunca hantaran Regin Segovia yang menyaksikan penjaga gol veteran MU, Mohd Khairul Fahmy Che Mat tertewas.

Seminit sebelum itu, penyerang kelahiran Nigeria Ifedayo Olusegun hampir meletakkan MU di depan namun rembatannya sekadar menggegar palang gol pelawat.

Pada minit ke-44, skuad kendalian Nazliazmi Mohamad hampir menambah jaringan namun rembatan Refino dari jarak 25 meter pada minit ke-44 sedikit tinggi melepasi palang gol MU.

Babak kedua menyaksikan MU yang dilatih E Elavarasan menampilkan corak permainan berbeza apabila pasukannya dilihat bijak mengimbangi bahagian tengah untuk memburu gol penyamaan dan kemenangan.

Ia membuahkan hasil apabila jaringan penyamaan muncul pada minit ke-50 menerusi Yahor Zubovich apabila bola lambungan kaki kirinya menewaskan penjaga gol Selangor, Muhammad Haziq Ridzwan.

Tampak tidak terkejut dengan jaringan itu, Selangor sekali lagi di depan apabila pemain gantian Selangor D Kugan meledak jaringan kedua pelawat pada minit ke-70 selepas menerima hantaran Muhammad Syahmi Safari.

Begitupun, Zubovich membuktikan ketajamannya dan memastikan Hang Tuah tidak terlepas mata selepas menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-83 berpunca sepakan percuma import Singapura Shahdan Sulaiman.

Dan tuan rumah kemudian berpesta apabila gol kemenangan dihasilkan pada minit ke-90 menerusi Nicholas Swirad sekali gus memastikan Selangor pulang dengan tangan kosong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here