Muahciked: Hati-hati pilih pengasuh

0
130
Advertisement



Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad yang dikasihi.

Diharapkan hari minggu ini membawa 1,001 keceriaan buat anda semua.

Mutakhir ini hampir semua ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat asuhan atau rumah pengasuh tidak senang duduk dan tidak dapat fokus pada kerja.

Ini kerana, rata-ratanya fobia dan takut dengan kes menyayat hati yang dilaporkan media.

Boleh dikatakan setiap hari ada saja kes membabitkan kanak-kanak atau bayi yang berlaku di pusat asuhan atau rumah pengasuh.

Antara kes terkini, Adik terkejut ketika membaca kisah seorang bayi perempuan berusia 10 bulan mengalami lebam pada pipi dipercayai didera pengasuh yang dikenali menerusi aplikasi WeChat pada hari pertama dijaga di sebuah rumah di Kuala Kedah, baru-baru ini.

Sebelum itu masyarakat digemparkan dengan kes penemuan mayat bayi lelaki dalam peti sejuk di rumah pengasuh.

Adam Raykal Mohd Sufi yang berusia lima bulan yang pada mulanya dilaporkan hilang oleh pengasuh. Namun, mayatnya ditemui di rumah pengasuh terbabit disorokkan dalam peti sejuk. Itu belum lagi kecuaian pengasuh misalnya bayi meninggal dunia kerana tersedak susu.

Masya-Allah! Macam-macam kes yang tidak terfikir di otak berlaku kerana sikap tidak berperikemanusiaan. Adik sangat marah apabila bayi atau kanak-kanak tidak berdosa didera atau dibunuh kejam sedangkan mereka belum mampu berfikir secara rasional.

Bagi Adik, tindakan tegas perlu diambil bagi menangani kes itu agar tidak berulang lagi.

Dalam hal ini, ibu bapa, pengasuh dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya kejadian malang itu tidak berulang.

Ibu bapa perlu menjadi tonggak utama dalam membantu menangani isu ini. Bukan Adik nak menyalahkan ibu bapa, tapi mereka perlu mencari pengasuh yang terbaik buat anak mereka dan jangan sesekali berfikiran ‘janji ada pengasuh untuk menjaga anak’.

Bagi ibu bapa yang menghantar anak ke rumah pengasuh pastikan memeriksa tubuh anak setiap hari.

Seperkara lagi, sentiasalah peramah dengan pengasuh dan bukan sekadar hantar dan jemput anak-anak.

Setiap ibu bapa perlu menjalin hubungan baik dengan mereka barulah hubungan itu akan lebih akrab dan mereka juga gembira untuk melayani anak kita dengan baik.

Selain itu, sebelum menyerahkan tanggung- jawab menjaga dan menguruskan anak kita ambil sedikit masa untuk siasat latar belakang pengasuh dan pusat asuhan terbabit.

Paling mudah kita boleh tanya masyarakat sekeliling atau ibu bapa lain yang turut menghantar anak mereka ke tempat itu. Antara latar belakang penting yang perlu kita tahu ialah sama ada pernah berlaku apa-apa kes sebelum ini, pengalaman mereka menjaga bayi, bilangan bayi atau kanak-kanak yang dijaga serta bilangan pengasuh yang menguruskan mereka.

Jadi, ayuh sama-sama kita buka mata dan menjaga anak-anak dengan baik. Ingat nyawa manusia tidak boleh dibeli. Jadi sentiasalah awasi anak-anak kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here