Muktamar Pas: Berhati-hati dengan Tun Mahathir – Perwakilan

0
75



ALOR SETAR: Anggota Pas diingatkan untuk berhati-hati dengan ‘muslihat’ Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perwakilan Pas Johor, Nazari Mokhtar berkata ini kerana ‘hasrat sebenar’ Dr Mahathir sukar dibaca dan beliau bimbang tindak tanduk bekas perdana menteri itu hanya membantu menyelamatkan kerajaan sedia ada.

“Oleh itu, tindakan kita untuk tidak bersama PPBM adalah satu tindakan yang tepat.

“Ini adalah masanya untuk kita meraih undi Melayu. Kalau kita tidak berhati-hati, Pas akan kehilangan sokongan dari pengundi Melayu,” kata Nazari sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden Pas ketika hari kedua Muktamar Pas Pusat hari ini.

Nazari turut menyelar Dr Mahathir dan menyifatkan pemimpin PPBM itu sebagai ‘Mr U-Turn’ kerana mengubah pendirian berhubung kerjasama dengan Pas.

Semalam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu  tidak berhasrat untuk memulakan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam sidang medianya, Abdul Hadi berkata PPBM dilihat tiada arah dan tidak mempunyai wawasan kepimpinan yang jelas.

MEMPERKASAKAN DHPP

Sementara itu seorang lagi perwakilan Pas menggesa pimpinan parti untuk memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dalam usaha menterjemahkan ‘Sejahtera Bersama Islam’ kepada rakyat umum.

Perwakilan Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata DHPP ialah komponen penting dalam menunjukkan Pas sebagai parti yang sesuai untuk mentadbir negara.

“Setiap kawasan wajar mengukuhkan DHPP masing-masing.

“Saya berharap kita dapat menarik lebih ramai lagi ahli DHPP daripada kaum Tionghua,” kata beliau ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.

Pendapat tersebut dikongsi perwakilan dari Melaka, Abdul Halim Mydin yang turut mencadangkan ahli DHPP diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum nanti.

“Ini penting dalam usaha Pas untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU nanti,” kata Abdul Halim.

Muktamar Pas Pusat masuk hari kedua dan dijadualkan berakhir esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here