Muktamar: PAS jemput PKR, tak ajak BERSATU

0
55



Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menghadiri muktamar tahunan ke-63 parti Islam itu yang akan berlangsung mulai 29 April ini.

Beliau turut mengesahkan PAS menjemput kepemimpinan PKR yang merupakan salah satu daripada parti komponen dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Selain PKR, parti Islam itu turut menjemput Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Jelas Takiyuddin, tindakan itu adalah selaras dengan keputusan parti yang menetapkan hubungan dengan BERSATU ‘digantung sementara’.

“Kita juga tidak lagi mengadakan program bersama BERSATU dan tiada lagi rundingan antara kedua-dua parti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini, memetik laporan Utusan Online.

PAS akan mengadakan muktamar tersebut di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar mulai 29 April hingga 1 Mei akan datang.

Muktamar itu dijangka menarik walaupun ia nampak bebas daripada kontroversi seperti sebelum ini dengan beberapa perkara berbangkit yang perlu diputuskan oleh parti menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Antaranya ialah hubungan dengan BERSATU, Umno, dasar Melayu, RUU355, PRU14, kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah meneraju PAS selama kira-kira 15 tahun dan nasib Datuk Mahfuz Omar yang begitu lantang mengkritik kepimpinan dan hala tuju parti itu kebelakangan ini.

Pada masa yang sama, muktamar kali ini merupakan medan terbaik untuk memutuskan kedudukan ahli dewan undangan negeri (ADUN) PAS di Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here