Murray tarik diri kerana penat

0
189
Advertisement



PEMENANG tiga gelaran Grand Slam, Andy Murray menarik diri daripada kejohanan ATP Terbuka Washington selepas terpaksa mengharungi perlawanan yang berakhir pada jam 3 pagi waktu tempatan sekalipun menang.

Bintang tenis Britain itu yang kembali beraksi Jun lalu selepas berehat hampir 11 bulan susulan kecederaan pinggul, turut menarik diri daripada beraksi di ATP Masters Toronto, minggu depan.

Pemain berusia 31 tahun itu menyalahkan kepenatan sebagai punca menarik diri selepas mengharungi pertembungan getir tiga set yang bermula di tengah malam dan berakhir pada awal pagi dengan kemenangan 6-7 (5/7), 6-3, 7-6 (7/4) ke atas pemain Romania, Marius Copil.

“Saya bermain begitu banyak perlawanan minggu ini di Washington dan saya perlu bijak dengan berehat dan proses pemulihan kerana saya baru pulih daripada kecederaan,” kata Murray.

Perlawanan yang diharungi Murray dan Copil adalah aksi yang berakhir paling lewat dalam 50 tahun sejarah Terbuka Washington.

Selepas menang, Murray menutup mukanya dengan tuala sambil menangis selama beberapa minit sebelum menyatakan dia sedang memikirkan untuk menarik diri.

Keputusan itu memberikan kemenangan percuma buat pemain berusia 19 tahun dari Australia, Alex De Minaur, yang menyingkirkan pilihan ke-11, Steve Johnson dan pilihan kelapan, Chung Hyeon, kelmarin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here