Musa ingatkan pemimpin UMNO jangan bongkak dan sombong

0
41



KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan pemimpin UMNO di semua peringkat agar menjauhi sikap sombong dan bongkak kerana sikap itu bukan amalan parti berkenaan.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah juga mengingatkan pemimpin parti itu supaya tidak merasa ‘besar’ apabila mereka dilantik sebagai pemimpin atau memegang apa-apa jawatan parti dan kerajaan.

Katanya, apabila rakyat memilih mereka sebagai pemimpin, kedudukan berkenaan bukan sebagai satu keistimewaan sebaliknya satu amanah yang diberikan untuk mereka memberi khidmat kepada rakyat.

“Jangan sekali-kali kita angkuh, sombong dan bercakap kasar kepada sesiapapun. Kita sebagai pemimpin mestilah bersopan santun. Kita mesti hormat-menghormati antara satu dengan yang lain. Ini cara kita, ini cara UMNO.

“Kita tidak mahu dilihat sebagai pemimpin yang bongkak dan sombong dan cakap sesuka hati. Itu bukan cara kita. Cara kita beradab…bukan sahaja kita hormat-menghormati sesama pemimpin tetapi juga dengan rakyat,” katanya.

Musa berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 2 di Sepanggar malam tadi. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, anggota Kabinet negeri, Anggota Dewan Undangan Negeri Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Yakub Khan.

Mengenai program berbuka mengikut zon berkenaan, Musa berkata ia merupakan program tahunan UMNO Sabah setiap kali menjelang bulan Ramadan untuk berbuka di enam zon seluruh negeri dan merupakan pendekatan turun padang pemimpin UMNO bertemu dan bermesra dengan anggota dan pemimpin parti peringkat akar umbi.

Katanya tahun ini, siri berbuka itu dimulakan di UMNO Zon 2 yang merangkumi UMNO Bahagian Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Menurut Musa melalui program berkenaan, kepimpinan UMNO Sabah dan anggota parti bukan sahaja boleh mengukuhkan silaturahim tetapi juga memberi ruang kepada pemimpin mendengar permasalahan rakyat serta berusaha menyelesaikannya.

Pada majlis berkenaan, Musa turut menyampaikan bantuan zakat dari Pusat Zakat Sabah kepada golongan asnaf serta bantuan hari raya kepada penduduk setempat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here