Muslim Marawi lindungi Kristian dari kumpulan Maute

0
37



Ketika tentera Filipina dan anggota kumpulan Maute bertempur, orang awam adalah mangsa yang tersepit di daerah Lanao del Sur di Marawi City, selatan negara itu.

Antara mereka ialah penganut Kristian yang hidup di kawasan bermajoriti Islam berkenaan.

Dan untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa, satu usaha digerakkan oleh kakitangan kerajaan, Salma Jayne Tamano yang beragama Islam.

Ketua Polis Lanao del Sur, Oscar Nantes, pula memberitahu 39 orang awam beragama Kristian itu tidak makan selama beberapa hari dan cuma mampu berbaring di dua rumah orang Islam di kawasan Lilod Madaya dan Saduc areas.

Katanya, mereka terpaksa bersembunyi di situ kerana kehadiran kumpulan bersenjata Maute yang mempunyai kaitan dengan pengganas Daesh.

“Salma dan saudara-maranya juga menyelamatkan dua Muslim warga emas yang memberikan perlindungan kepada mereka ketika perang berlangsung,” katanya.

Salma adalah pegawai penerangan kerajaan Marawi City.

Semua mereka kemudian di bawa keluar dari kawasan itu dan diberikan pemeriksaan perubatan oleh doktor setempat.

Timbalan Gabenor Lanao del Sur, Mamintal Adiong Jr (gambar), berkata operasi berbahaya itu turut disertai ahli keluarga Salma.

Sementara itu pegawai komunikasi Pasukan Bantuan Darurat Kemanusiaan Filipina di Mindanao, Myrna Jocelyn Henry, berkata penduduk beragama Islam di Marawi membantu memindahkan ratusan penganut Kristian ke tempat lebih selamat sejak konflik meletus di situ.

Pegawai undang-undang juga bantu

Perang meletus di kawasan Marawi City selepas anggota kumpulan Maute menyerang kawasan berkenaan sebelum tentera Filipina tiba untuk mengambil semula kawasan yang mereka kuasai pada Jumaat lalu.

Sekurang-kurangnya 76 orang maut dalam konflik yang berlaku ketika Presiden Rodrigo Duterte melakukan lawatan ke luar negara itu.

Daripada jumlah itu, 61 adalah anggota kumpulan Maute manakala 19 orang awam. Selebihnya adalah anggota keselamatan Filipina.

Media juga melaporkan dua daripada anggota Maute yang terbunuh itu ialah rakyat Malaysia.

Laporan rasmi terkini pula menyebut seramai 124 orang awam sudah diselamatkan sejak operasi ketenteraan dilancarkan di situ.

Myrna berkata, pasukan bantuan juga mendapati seorang pegawai pendakwa beragama Islam menyelamatkan 42 penduduk Kristian daripada sebuah kawasan yang diserang anggota bersenjata Maute.

“Mula-mula mereka disembunyikan di sebuah bangunan tinggi di Marawi City sebelum dipindahkan ke tempat lebih selamat secara berperingkat-peringkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here