Myanmar didesak benarkan siasatan kes Rohingya

0
57


Nikki Haley

NEW YORK: Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley hari ini meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Myanmar supaya membenarkan kemasukan misi pencari fakta badan itu yang ditugaskan menyiasat penderaan hak asasi manusia ke atas Muslim Rohingya.

Pihak berkuasa Yangon berkata minggu lalu, mereka akan menolak visa pasukan tiga penyiasat yang diberi mandat oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk menyiasat penderaan dilakukan pasukan keselamatan di Rakhine.

“Adalah penting kerajaan Burma membenarkan misi pencarian fakta melakukan tugas mereka. Masyarakat antarabangsa tidak dapat mengabaikan apa yang berlaku di Burma, kita perlu berdiri bersama dan menggesa kerajaan bekerjasama penuh dengan pasukan berkenaan,” kata Haley dalam satu kenyataan.

Pemimpin de facto Myanmar dan aktivis demokrasi pemenang Nobel Aung San Suu Kyi menolak misi pencari fakta PBB, dan bertegas kerajaannya menjalankan siasatan sendiri.

Negeri utara Rakhine masih di dalam perintah darurat sejak Oktober lalu apabila tentera melancarkan kempen memburu militan Rohingya yang melancarkan serangan maut ke atas pos polis.

Menurut anggaran PBB, lebih 90,000 penduduk Islam Rohingya terpaksa melarikan diri sejak Oktober lalu.

Satu laporan PBB Februari lalu berkata, kempen menentang Rohingya, yang dinafikan kerakyatan dan hak di Myanmar, menyamai jenayah perang.

Haley berkata, keganasan di Rakhine terus meragut nyawa dan ada dakwaan keganasan seksual berterusan dengan menyasarkan wanita dan kanak-kanak. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here