Myanmar perlu digantung dari ASEAN – NGO

0
165
Advertisement

KUALA LUMPUR: Myanmar perlu digantung daripada menganggotai ASEAN jika krisis kemanusiaan terus berlaku khususnya terhadap etnik Rohingya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata penggantungan itu wajar dilakukan sehingga Myanmar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Jelasnya, tindakan untuk menggantung Myanmar itu boleh dibuat melalui satu mesyuarat tergempar antara negara-negara ASEAN.

“ASEAN mesti tegas terhadap kerajaan Myanmar dan tentera Myanmar, kerana ASEAN adalah kumpulan negara terdekat.

“Jika keadaan di sana tidak berubah, kita juga minta ketua-ketua negara ASEAN untuk mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar.

“Apa sahaja hubungan boleh dikembalikan seperti sedia kala, selepas Myanmar membuktikan keadaan semakin bertambah baik,” kata Mohd Azmi dalam satu sidang media Mesyuarat Strategik mengenai Rohingya di sini, pada Selasa.

Mesyuarat selama dua hari, anjuran MAPIM, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) itu melibatkan 90 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara.

“Hasil mesyuarat kali ini, kami akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tetap yang akan melaksanakan pelan strategik dalam enam bidang tindakan.

“Ia termasuk kempen media dan dokumentasi, mobilasisi massa rakyat, advokasi rakyat, lobi badan-badan dunia, bantuan kemanusiaan dan lobi kepada organisasi antarabangsa,” kata Mohd Azmi.

Sementara itu, Jawatankuasa Tetap ini juga mendesak penarikan balik Anugerah Nobel Keamanan dari pemimpin Myanmar, Aun San Suu Kyi

“Ada kempen yang sedang dilakukan dan kami turut bersama mengatakan gelaran itu perlu ditarik balik.

“Kita juga memberi penekanan, Aun Sang Suu Kyi juga telah menjadi alat kepada tentera, dan yang perlu diberi perhatian adalah tentera Myanmar kerana tanpa Aun Sang Suu Kyi, pihak tentera Myanmar sudah melaksanakan genosid sejak 1978.

“Kami buat keputusan, fokus kepada tentera ini harus dilakukan. Kami sudah menamakan panglima-panglima tentera ini yang mesti diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Myanmar didapati bersalah melakukan genosid, jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan terhadap etnik Rohingya di negara itu

Tribunal Awam Tetap (PPT) terhadap Myanmar juga mendapati Kerajaan Myanmar berniat melakukan genosid terhadap etnik Kachin dan kumpulan minoriti Islam di negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here