Mydin mahu ceburi perniagaan dalam talian

0
16

KUALA LUMPUR: Mydin Mohamed Holdings Bhd yang juga pemilik salah satu rangkaian pasar raya terbesar Malaysia, Mydin, berhasrat untuk menceburi perniagaan dalam talian yang menjadi antara usaha untuk mengembang serta mempelbagaikan portfolio perniagaan syarikat itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata syarikat tersebut kini menunggu masa yang sesuai bagi melancarkan inisiatif itu.

“Pasaran amat lemah sekarang dan kami menunggu untuk mencatat peningkatan sebelum boleh memulakan perniagaan dalam talian.

“Ini disebabkan perniagaan dalam talian itu berbeza dan melibatkan beberapa penggiat besar dalam dunia digital. Saya perlu berhati-hati,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Antarabangsa Keselamatan Sosial 2017 di sini, pada Rabu.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Future of Work: Preparing For Tomorrow Today,’ adalah anjuran bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan firma pelaburan berpejabat di Amerika Syarikat, BNY Mellon.

Ameer berkata buat masa ini, Mydin akan memberi tumpuan terhadap usaha menambah bilangan cawangan dan memantau prestasi industri yang masih terjejas akibat kelembapan ekonomi serta penyusutan nilai ringgit.

Malah, katanya, Mydin juga merancang untuk menambah dua cawangan baharu pada tahun ini dan kemungkinan tiga lagi cawangan pada tahun berikutnya.

Mengulas prestasi jualan Mydin, beliau mengakui kesukaran syarikat untuk mencatat semula peningkatannya pada tahun ini berikutan kuasa beli yang rendah di pasaran biarpun Malaysia merekodkan pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2017.

“Kami sedang berusaha mengekalkan harga sedia ada dengan harapan keadaan pulih semula. Inilah cabaran utama kami sekarang,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here