Myvi baharu lebih murah, banyak teknologi baharu

0
24

KUALA LUMPUR: Perodua mensasarkan jualan 6 ribu unit sebulan model Myvi terbaharu yang dilancarkan hari ini, dengan sejumlah 5 ribu tempahan sudah diterima sejak dibuka kepada umum bermula 9 November lepas.

Tempahan itu lebih 70 peratus melibatkan varian 1.5 liter berwarna silver. 

Model terbaharu Myvi 1.5 liter dan 1.3 liter menampilkan enjin Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan ditawarkan sekitar RM44,300 hingga RM55,300.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, Myvi dengan rekaan serba baharu itu menampilkan teknologi terkini, keselamatan pintar dan dianugerahkan 5 bintang bagi penarafan keselamatan ASEAN NCAP.

“Model terbaharu ini menampilkan teknologi yang sebelum ini hanya dimiliki oleh model premium, ia sekaligus menetapkan penanda aras kualiti bagi kami dari segi rekaan dan keseluruhan penawaran bagi model masa hadapan kami,” katanya.

Model Myvi 1.5 liter dilengkapi enam beg udara manakala model 1.3 liter dilengkapi empat beg udara.

Antara ciri utama model terbaharu Myvi termasuk Amaran Pra Pelanggaran, dan Isyarat Pelepasan Hadapan bagi memberi isyarat kenderaan hadapan sudah bergerak ketika kesesakan lalu lintas.

“Kesemua ciri-ciri ini merupakan yang pertama bagi segmen harga model ini. Bagaimanapun keselamatan masih bergantung kepada pemandu dan kesemua sistem hanyalah bertindak sebagai pembantu,” kata Aminar.

Myvi terbaharu juga menampilkan penjimatan bahan bakar antara 20.1 hingga 21.2 kilometer per liter, menjadikan ia 32 peratus lebih cekap berbanding model sebelum ini.

Sejumlah enam varian warna diperkenalkan antaranya Ozzy Orange, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White.

Model Myvi terbaharu ini 100 peratus direka oleh 59 orang anak tempatan bagi mengantikan model terdahulu yang diiktiraf sebagai model paling laris di Malaysia bagi 9 tahun berturut-turut.

“Kami lalui pelbagai proses ketat untuk meluluskan rekaan ini. Model ini juga menampilkan 90 peratus komponen dihasilkan secara tempatan.” Tambah Aminar sambal menyangkal dakwaan model Myvi baharu meniru model jenama besar di pasaran.

“Kami mempunyai pasukan Kajian dan Pembangunan (R&D) kami sendiri yang menghasilkan rekaan ini.” Katanya.

Tahun ini Perodua menyasarkan Jumlah Jualan Tahunan (TIV) 200 ribu kenderaan dengan myvi merangkumi 75 ribu hingga 80 ribu setahun.

Kelulusan pinjaman model Perodua

Dalam pada itu Aminar berkata jumlah kelulusan pinjaman bagi model Perodua menurun kepada antara 47 hingga 48 peratus selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Sebelum GST, kelulusan pinjaman bagi model kami adalah sekitar 70 peratus. Namun Perodua masih menjadi jenama paling menarik untuk kelulusan pinjaman.” Katanya.

Menyentuh tentang pasaran eksport, Aminar berkata pihak Perodua akan menumpukan kepada pasaran domestik terlebih dahulu sebelum meneruskan rancangan eksport.

Masih beri penekanan kos pemilikan

Perodua masih memberi penekanan kepada kos penyelenggaraan kenderaan di semua pusat servis supaya ia mampu milik, katanya.

“Tidak benar jika ada yang mengatakan kos selenggara di pusat servis kami semakin mahal. Mungkin ada satu atau dua bahagian alat ganti yang meningkat harga namun ia masih terkawal.

“Kami mempunyai program yang memperkenalkan alat ganti original pada harga yang berpatutan bagi menarik kembali pelanggan kami yang sebelum ini menyelenggara kenderaan mereka di bengkel luar,” katanya.

Kos pemilikan keseluruhan termasuk kos penyelenggaraan menjadi kunci kejayaan utama jenama itu sejak sekian lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here