Nadal buru gelaran ke-11

0
5
Advertisement



PARIS: Rafael Nadal mengakui tidak sabar memburu gelaran ke-11 Terbuka Perancis lewat hari hari ini selepas sedar kariernya semakin menuju ke penghujung tidak lama lagi.

Pemain Sepanyol berusia 32 tahun itu akan tampil kali ke-24 dalam final Grand Slam di Roland Garros menentang Dominic Thiem yang pertama kali beraksi di final.

Kejayaan kali ini akan membolehkan Nadal meraih gelaran ke-11 di Paris dan menyamai rekod Margaret Court yang melakukannya sederet di Terbuka Australia pada 1960 dan 1973.

“Bagi saya, beraksi di sini sentiasa membangkitkan motivasi saya,” kata Nadal sejurus selepas melepasi separuh akhir menewaskan Juan Martin del Potro 6-4, 6-1, 6-2, kelmarin.

“Tetapi bagi saya, peluang kian terbatas dalam karier saya.

“Saya banyak terlepas peluang ketika kecederaan dan saya sedar masa pantas berlalu. Maka saya rasa peluang saya tidak lebih daripada 10 untuk beraksi di sini lagi,” katanya.

Statistik itu tepat dengan pengakuan Nadal yang sebelum ini terlepas lapan siri Grand Slam susulan kecederaan pergelangan tangan dan masalah lutut.

Dalam pada itu, Del Potro berkata peluang untuk Thiem mengatasi Nadal di pentas final itu ‘agak mustahil’.

“Ia agak mustahil menewaskan Rafa, dia terlalu kuat. Pukulan kilasnya banyak meningkat sebab itu dia jadi pemain nombor satu dunia dan menewaskan semua pencabarnya,” kata Del Potro.

“Dia juga kelihatan cergas dan sihat. dia memiliki kekuatan mental yang sempurna dan memang dia handal bertarung di tanah liat.”

Nadal dan Thiem sudah bertembung sembilan kali dan kesemuanya di gelanggang tanah liat.

Pada 2016, Thiem menewaskan pencabarnya itu di Buenos Aires sekali gus muncul antara pemain bersama Novak Djokovic dan Gaston Gaudio yang berjaya menyaksikan Nadal tiga kali kempunan di gelanggang tanah liat.

Bagaimanapun, Nadal menang dua saingan di Roland Garros pada 2014 dan di separuh akhir tahun lalu dengan margin selesa 6-3, 6-4, 6-0.

“Saya akan berdepan Rafa dan bukan saya saja yang mengalami tekanan,” kata Thiem.

Robin Soderling, yang terkenal selepas muncul pemain pertama menewaskan Nadal di terbuka Perancis 2009 menyarankan agar Thiem melakukan inisiatif kemenangan dari awal permainan.

“Untuk menewaskan dia di tanah liat memang susah. Ia memerlukan seseorang pencabar yang beraksi dengan baik untuk mengatasinya.

“Hanya pemain yang benar benar agresif saja dapat menewaskan dia di gelanggang tanah liat,” kata pemain Sweden itu. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here