Nadarajah lebur rekod tanpa kalah UKM FC

0
51



Kuala Lumpur: Jaringan tunggal T Nadarajah pada babak kedua cukup membantu FELCRA FC meleburkan rekod tanpa kalah UKM FC dalam Kumpulan A bola sepak Piala FAM di Stadium Arena UM, Ahad lalu.

Skuad kendalian Yusri Che Lah itu berjaya meraih tiga mata untuk membolehkan mereka kini mengumpul 11 mata bagi menduduki tempat keempat daripada lapan pasukan selepas berakhirnya pusingan pertama.

Manakala UKM yang tidak pernah tewas sejak saingan bermula Februari lalu kini mengumpul 14 mata, ketinggalan dua mata kepada pendahulu MOF FC.

Kesilapan penjaga gol UKM Abdul Gafur Samsudin membawa padah pada minit ke-49 apabila gagal menampan kemas bola sekali gus membuka peluang kepada penyerang Nadarajah menggegar gawang.

Perlawanan berlangsung sengit sejak awal dengan kedua-dua pasukan mendapat peluang namun hanya Nadarajah yang berjaya meledak jaringan tunggal pada aksi itu.

Ia turut membolehkan FELCRA FC kembali menemui rentak kemenangan selepas sekadar seri dan kalah dalam dua perlawanan terakhir.

“Pemain mempamerkan semangat juang tinggi dan saya gembira tiga mata menjadi milik kami. Lawan jelas tidak memberikan laluan mudah,” jelas Timbalan Presiden FELCRA FC Datuk Hazian Murad.

FELCRA akan memulakan saingan pusingan kedua menentang lawan sama UKM yang akan menjadi tuan rumah di Stadium Mini UKM, Ahad ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here