Nahas EgyptAir satu kemalangan – Penyiasat Perancis

0
184
Advertisement


PARIS: Tiada kesan letupan ditemui pada mayat mangsa penumpang pesawat EgyptAir, yang terhempas di Laut Mediterranean, pada Mei tahun lalu.

Menurut sumber siasatan bagi pihak Perancis, pendedahan terbabit ‘menutup pintu’ kepada teori Mesir bahawa pesawat Airbus A320 berkenaan diletupkan di udara ketika dalam penerbangan dari Paris ke Kaherah, yang mengorbankan semua 66 anak kapal serta penumpang.

Pesawat EgyptAir MS804 hilang daripada radar ketika melalui Laut Mediterranean pada 19 Mei tahun lalu dan kemudiannya didapati terhempas di kawasan di antara Crete dan pesisir utara Mesir.

“Tiada alat peledak ditemui di atas pesawat kerana tiada kesan serbuk letupan ditemui polis dalam sampel yang diambil daripada mayat lapan daripada 15 warga Perancis yang terbunuh,” kata sumber itu.

Pihak berkuasa Mesir menyerahkan mayat mangsa kepada keluarga mereka, Januari lalu.

Pada Disember lalu, wakil jawatankuasa siasatan Mesir berkata, mereka menemui kesan letupan pada mayat mangsa, namun ketika itu pasukan penyiasat Perancis enggan membuat kesimpulan membabitkan punca nahas.

Pasukan penyiasat Perancis lebih cenderung kepada punca masalah mekanikal dan berkata, api tercetus dalam atau berhampiran kokpit pesawat, sebelum ia menjunam dari ketinggian 22,000 kaki.

“Ketika ini, api atau pembakaran sendiri tablet dalam kokpit adalah hipotesis kami, namun kami memerlukan beberapa elemen untuk mengesahkannya seperti serpihan kabin atau perakam penerbangan dan Mesir seolah-olah tidak mahu bekerjasama,” kata sumber itu. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here