Nahas tren SMRT: Tiada maklumat rakyat Malaysia antara yang cedera

0
22

SINGAPURA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia tidak menerima apa-apa maklumat mengenai sama ada rakyat Malaysia adalah antara mereka yang cedera dalam insiden perlanggaran tren Transit Aliran Massa Singapura (SMRT) di sini hari ini.

Seorang jurucakap, ketika dihubungi Bernama, berkata suruhanjaya akan memberikan maklumat apabila menerimanya daripada pihak berkuasa.

Dua puluh lapan orang cedera dalam kemalangan itu apabila sebuah tren SMRT berlanggar dengan tren tidak bergerak di stesen Joo Koon di Laluan Timur-Barat kira-kira 8 pagi.

Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dan SMRT Corp, dalam maklumat terkini bersama, berkata 28 orang cedera dalam nahas itu.

Kementerian Pengangkutan Singapura, LTA dan SMRT sedang berhubung dengan penumpang yang cedera untuk memberi bantuan yang perlukan, kata mereka.

BACA: Tren MRT Singapura berlanggar, 23 cedera

Mereka berkata 15 orang telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Singapura, seorang menolak untuk menerima rawatan dan pulang, dan 13 mendapat rawatan dan dibenarkan pulang.

“Seorang penumpang kini dipantau untuk pemerhatian.”

Tiga belas orang termasuk tiga yang dimasukkan kemudian, dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong.

“Sembilan dirawat dan dibenarkan pulang dua menerima rawatan, dan dua lagi dimasukkan ke wad untuk pemantauan,” kata LTA dan SMRT.

Dalam maklumat terkini mengenai perkhidmatan tren, SMRT berkata perkhidmatan tren SMRT antara stesen Boon Lay dan Tuas Link di Laluan Timur-Barat telah beroperasi semula tetapi tren bergerak perlahan.

Sehingga pukul 7 malam, SMRT masih menyediakan perkhidmatan bas secara tetap dan bas perantara antara kedua-dua stesen.

Wartawan Bernama berpeluang menikmati perjalanan yang lancar di atas tren di Laluan Timur-Barat, atau lebih dikenali sebagai “Green Line” ke Hospital Besar Ng Teng Fong yang perhentian terdekat adalah stesen Jurong East.

Tiada kesesakan dilaporkan di stesen Jurong East yang menyaksikan laluan Green Line bersambung dengan North-South Line atau Red Line.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here