Naikkan nilai kerja kontraktor Kelas F kepada RM350,000 – PERKOBF

0
63
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) meminta supaya Kerajaan menaikkan had nilai kerja kepada RM350,000 daripada RM200,000 ketika ini bagi semua kontraktor dalam kelas berkenaan.

Presidennya, Tukiman Radion berkata langkah ini perlu memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kami juga ingin meminta supaya pengagihan projek dibuat secara undian bagi memastikan ketelusannya,” kata Tukiman.

Menurut beliau, pengagihan projek yang kini dilaksanakan melalui sistem komputer atau atas talian diragui ketelusannya.

“Kami juga berharap agar kerja-kerja berskala kecil tidak lagi dikumpulkan dan diberi kepada konsesi tetapi diagihkan secara terus kepada kontraktor-kontraktor Kelas F.

“Ini supaya peluang dapat diberikan kepada kami untuk menjana pendapatan,” kata Tukiman, merujuk kepada 24,000 orang kontraktor Kelas F di seluruh negara.

Selain itu, PERKOBF juga meminta supaya nilai setiap kerja yang diagihkan dihadkan kepada RM150,000.

“Kami juga berharap agar Kerajaan memastikan kerja pengubahsuaian rumah persendirian hanya boleh dikendalikan kontraktor yang berdaftar,” kata Tukiman.

Permintaan tersebut disuarakan Tukiman dalam satu sidang media di ibu pejabat PERKOBF di Sungai Besi pagi tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here