Nak menang 'jangan tidur'

0
310
Advertisement



PEMAIN Kuala Lumpur, Irfan Zakaria menganggap aura Khairul Fahmi Che Mat atau ‘Apek’ menjadi pencetus kebangkitan Melaka United (MU) yang pastinya menjanjikan satu lagi tugas sukar kepada mereka apabila kedua-dua pasukan bertemu, malam esok.

Selepas tewas 3-4 kepada lawan sama di Stadium PBKL, Cheras, Selasa lalu, Irfan melihat pertembungan pusingan kedua Liga Super di Stadium Hang Jebat sebagai sesuatu yang lebih sukar.

“Melaka mula menunjukkan kebangkitan sejak Apek menyertai mereka. Ketangkasannya mengawal pintu gol dengan menyelamatkan banyak percubaan berbahaya lawan memberi keyakinan kepada rakan sepasukan.

“Malah, dalam perlawanan baru-baru ini dia menangkis beberapa percubaan kami. Saya yakin jika bukan Apek yang berada di pintu gol, kami mampu menjaringkan lebih gol dan menang,” kata Irfan.

Jadi, Irfan percaya Apek sekali lagi akan menjadi penghalang utama kepada barisan serangan Kuala Lumpur yang diterajui oleh Guilherme De Paula.

Selain Khairul Fahmi, Irfan mengakui kehadiran jurulatih E Elavarasan serta beberapa pemain baharu seperti S Veenod, Syahrul Azwari Ibrahim serta penyerang import, Ifedayo Olusegun membawa perubahan ketara kepada MU berbanding ketika pertembungan pada saingan Piala FA, sebelum ini.

Irfan berharap mereka akan ‘bangun awal’ bagi mengelak kekecewaan Selasa lalu berulang apabila ketinggalan 0-3 pada babak pertama, sebelum bangkit pada separuh masa kedua.

“Saya sendiri seolah-olah ‘tertidur’ pada separuh masa pertama dan hanya bangun selepas dikejutkan 3-0. Situasi sebegini perlu dielak kali ini kerana kami perlukan kemenangan, bukan sahaja untuk menebus kekalahan tetapi untuk mengumpul mata.

“Melaka sedang berada prestasi yang bagus dan akan bermain di laman sendiri, tentunya tugas kami menjadi lebih sukar. Namun, saya yakin jika mampu bermain seperti aksi pada separuh masa kedua, Selasa lalu, kami boleh menang,” kata Irfan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here