Naza sumbang RM1,000 kepada Tabung Harapan untuk setiap kereta dijual

0
280
Advertisement

KUALA LUMPUR: Naza Group akan menyumbang RM1,000 kepada Tabung Harapan Malaysia untuk setiap kereta yang dijual oleh kumpulan itu dari 1 Jun hingga 31 Ogos, 2018.

“Naza Group berbangga dapat memainkan peranannya dengan memberi sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan patriotik,” kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd SM Nasarudin SM Nasimuddin, dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata sumbangan daripada kumpulan itu sebagai antara cara untuk memberi penghargaan kepada kerajaan atas landskap ekonomi dan politik yang stabil, terutamanya, tempoh tanpa cukai selama tiga bulan yang mendorong jualan kereta untuk mencapai paras tertinggi pada tahun ini.

“Sebagai syarikat tempatan, menjadi kewajipan dan tanggungjawab kami untuk membantu demi negara yang dicintai, terutamanya apabila kita akan menyambut ulang tahun ke-61 kemerdekaan negara dan Hari Malaysia tidak lama lagi,” kata SM Nasarudin.

Naza Group adalah pengimport dan pengedar untuk pelbagai jenama automotif antarabangsa, seperti Ferrari, Maserati, Mercedes-Benz, Peugeot, Citroen, DS dan Kia, di Malaysia.

Sumbangan daripada individu dan syarikat Malaysia kepada Tabung Harapan melebihi paras RM150 juta pada minggu lepas. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here