Negara kafir lebih peduli penipuan 1MDB

0
32



ULASAN l Wabak sumpahan 1MDB terus merebak di Singapura.

Yang terbaru, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) telah mengenakan hukuman ke atas dua buah bank kerana terlibat dalam urus niaga haram berkaitan 1MDB.

Dua bank itu ialah Credit Suisse dari Switzerland dan United Overseas Bank (UOB) yang berpangkalan di Singapura sendiri. Credit Suisse didenda S$700,000 (kira-kira RM2.2 juta) manakala UOB didenda S$900,000 (RM2.9 juta).

Mereka didenda di bawah peraturan berkaitan dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Mencegah Pembiayaan Keganasan.

“Pemeriksaan terhadap Credit Suisse dan UOB mendedahkan beberapa perlanggaran terhadap keperluan anti-pengubahan wang haram (AML) dan kecuaian kawalan.

“Ini termasuk kelemahan meneliti pelanggan dan ketidakcukupan keselamatan terhadap kegiatan dan transaksi pelanggan-pelanggan,” kata kenyataan MAS.

Tindakan terbaru Singapura itu mengukuhkan lagi bukti jenayah kewangan yang melibatkan 1MDB dan pembabitan langsung Perdana Menteri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat dan Pegawai Nombor Satu (MO1) 1MDB.

Najib tak saman lagi

Najib masih belum membersihkan namanya daripada tuduhan menerima AS$680 juta (kira-kira RM2.6 bilion pada kadar tukaran 2013) wang yang dicuri daripada 1MDB.

Beliau masih belum mengemukakan saman ke atas akhbar Wall Street Journal seperti yang beliau ancam pada 5 Julai 2015 kerana mengaitkan beliau dengan kecurian duit 1MDB itu.

Sejak itu, kes kecurian dan pengalihan haram duit 1MDB telah disiasat dan diambil tindakan oleh beberapa buah bidang kuasa (jurisdiction). Selain Singapura, tindakan juga telah dan sedang dilakukan di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Singapura telah pun membicarakan beberapa orang yang terbabit dan menjatuhkan hukuman penjara serta denda ke atas sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dan menutup dua buah bank yang bersubahat mengubah duit haram 1MDB.

Di Amerika Syarikat pula, Jabatan Kehakiman (DoJ) dalam samannya tahun lalu mengenal pasti Jho Low dan anak kiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, sebagai penerima duit haram 1MDB di Amerika.

DoJ menggunakan udang-undang yang dikenali sebagai KARI. Ia membolehkan pihak berkuasa Amerika merampas harta orang asing yang dibeli dengan duit yang dicuri daripada rakyat jelata sesebuah negara.

KARI adalah singkatan kepada “Kleptocracy Asset Recovery Initiative” iaitu usaha mendapatkan balik harta yang dicuri oleh sesebuah kerajaan. Kleptokrasi bermaksud kerajaan yang mencuri.

Di Swizerland, tiga buah bank masih disiasat kerana disyaki melakukan rasuah dan mengubah wang haram bersangkutan 1MDB manakala kumpulan perbankan terbesar di Switzerland, UBS Group AG, telah diberi amaran atas penglibatannya.

Nampaknya negara asing yang selalu kita sebut sebagai negara kafir lebih mengambil berat terhadap penipuan 1MBD dan beban yang akan ditanggung oleh rakyat jelata Malaysia beberapa generasi akan datang.


DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Artikel ini dimuatkan kali pertama dalam blognya. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here