NEKMAT sedia 200 tan ikan sejuk beku Q'Fish di Kuala Kedah

0
29
Advertisement

KUALA KEDAH: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) memperuntukkan kira-kira 200 tan ikan sejuk beku Q’Fish dalam usaha membantu orang ramai mendapatkan ikan pada harga murah dan berpatutan yang dijual di Pasar Nelayan Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari berkata, sebanyak 1,000 kilogram (kg) ikan jenis tongkol, kembong dan selayang dijual pada hari pertama di pasar berkenaan pada petang Rabu.

Katanya, penjualan ikan Q’Fish adalah alternatif kepada orang ramai yang berdepan dengan peningkatan harga ikan kembong secara mendadak sehingga RM20 sekilogram ekoran bekalan yang berkurangan akibat perubahan angin monsun ketika ini.

“Sambutan begitu menggalakkan dan kami akan keluarkan kira-kira 200 tan stok simpanan untuk dijual sehingga keadaan ikan di pasaran pulih… ikan-ikan ini juga dijamin segar kerana kita menggunakan teknologi IQF (Individual Quick Freezing),” katanya kepada pemberita pada Program Penjualan Ikan Sejuk Beku Q’Fish di sini, pada Rabu.

Katanya, pada program itu, ikan tongkol dijual RM10 bagi sekilogram iaitu lebih murah daripada harga pasaran RM20 bagi sekilogram, ikan kembong RM10 kg (RM16) dan ikan selayang RM8 kg (RM15).

“Mulai esok (Khamis) kita juga akan jual hasil laut lain seperti ketam dan sotong pada harga lebih murah kerana sambutannya amat menggalakkan dan saya yakin kita dapat jual tiga hingga empat tan sehari bermula esok,” katanya.

IQF ialah teknologi pembekuan ikan menggunakan kaedah Mesin Pembekuan Cepat Individu di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) di Kuala Kedah yang berupaya menyimpan 650 tan hasil laut untuk kegunaan ketika musim kekurangan ikan.

Pengguna, Izham Mat, 52 berkata, langkah yang diambil kerajaan itu sangat bertepatan kerana dapat meringankan kos hidup rakyat di sini yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

“Kalau rasa mahal, belilah di sini kerana bukan sahaja murah tetapi ikan yang dijual juga masih segar dan sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga yang ramai,” katanya.

Nuur Shafifi Zamri, 27, berkata, alternatif yang diambil ini diharap diteruskan dan diperluaskan kerana setiap tahun fenomena perubahan angin ini menyebabkan bekalan ikan dan hasil laut akan berkurangan di pasaran.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here