Nelydia tidak terdesak cari cinta

0
95


NELYDIA Senrose kini rancak mempromosikan perniagaan pakaian tidurnya sendiri di bawah jenama Impian by Nelydia

KUALA LUMPUR: Calon Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Nelydia Senrose, mengaku hingga kini beliau belum bertemu pengganti cinta hatinya.

Sekitar tahun 2015, percintaan antara dirinya dengan Qi Razali agak heboh diperkatakan, sehinggalah hubungan itu tiba-tiba dikatakan retak.

Namun, sekitar pertengahan tahun lalu, ada gosip mengatakan cinta dua selebriti terbabit kembali bertaut.

Namun, pada penghujung 2016, Qi terang-terangan ‘memperkenalkan’ wanita baharu dalam hidupnya menerusi laman sosial beliau.

“Saya masih ‘single’. Selepas melalui fasa hubungan yang lama, yang kemudiannya tidak berpihak kepada diri ini, ia membuatkan saya bagai tersedar daripada lamunan.

“Cinta juga kini bukanlah keutamaan dan saya sendiri tidak memberikan tumpuan kepada perkara itu. Lagipun, tiada rezeki untuk saya bercinta dengan sesiapa.

Selepas putus cinta, hala tuju saya lebih kepada kerjaya, keluarga, perniagaan dan diri sendiri,” kata adik kepada Uqasha Senrose itu.

Tambah pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu, soal hati dan jodoh kini diserahkan sepenuhnya kepada Yang Maha Esa.

“Buat masa ini, saya tidak mahu terdesak mencari cinta. Bagaimanapun saya yakin, akan ada juga jodoh untuk saya satu hari nanti.

“Andainya dipanjangkan umur dan ada rezeki, saya juga mahu berkahwin seperti orang lain,” katanya yang berentap dengan Erra Fazira, Fazura, Reen Rahim dan Siti Saleha dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, pada ABPBH edisi ke-30.

Mengenai pencalonannya pada ABPBH 3.0, yang akan mencapai kemuncaknya malam ini, Nelydia tidak mahu meletakkan harapan tinggi.

“Terima kasih kepada peminat yang mengundi saya. Terima kasih juga kepada akhbar BH di atas penganjuran anugerah yang sudah pun memasuki tiga dekad ini.

“Saya sejujurnya tidak menaruh harapan tinggi untuk menang. Calon yang bersaing dengan saya pun bukan calang-calang artis,” kata Nelydia yang sedang menantikan tayangan Jebat, iaitu filem lakonannya bersama Sharnaaz Ahmad.

Nelydia turut memohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri pada acara yang dijangka berlangsung penuh gemilang itu berikutan masih bercuti di luar negara.

Acara kemuncak ABPBH 3.0 akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di TV3, jam 9 malam ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here