Nicol juarai Kejohanan Skuasy Kebangsaan buat kali keempat

0
67



KUALA LUMPUR: Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol David mempamerkan permainan yang hebat untuk merangkul kejuaraan keempatnya dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan ke-33 yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta, di sini semalam.

Nicol, selaku pilihan utama kejohanan dan juara tiga kali pada 2010, 2011 dan 2013 mempamerkan permainan yang mantap sejak set awal untuk menundukkan pemain junior kebangsaan, Rachel Arnold 11-4, 11-7 dan 11-5 dalam final kategori wanita perdana.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Nicol berkata beliau gembira untuk merampas semula kejuaraan kebangsaan selepas menarik diri pada edisi 2014 kerana sakit belakang dan tidak bertanding dalam kejohanan itu dua tahun lepas kerana komitmen lain.

Pada masa yang sama, beliau juga memuji pemain junior kebangsaan termasuk Rachel yang mempamerkan permainan yang baik dalam kejohanan tahunan itu.

“Saya gembira memenangi kejohanan ini … saya tidak berhadapan dengan Rachel buat masa yang lama dan untuk menyaksikan peningkatannya merupakan satu petanda baik,” kata Nicol.

“Saya rasa pemain junior kita sudah banyak meningkat kebelakangan ini dan apa yang mereka perlukan ialah pendedahan dalam pertandingan yang lebih tinggi. Mereka telah membuktikan diri mereka sendiri dengan keputusan yang baik untuk negara di peringkat junior dan kita perlu menggalakkan mereka untuk meningkat ke peringkat seterusnya, kata Nicol yang membawa pulang hadiah RM4,000.

Sementara itu, pemain nombor dua negara, Ivan Yuen menamatkan kemarau dalam pencapaiannya apabila mengejutkan johan dua kali dan juara bertahan, Mohd Nafiizwan Adnan dalam kategori lelaki perdana.

Yuen, bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Mohd Nafiizwan 10-12, 11-3, 6-11, 12-10 dan 11-9 untuk membawa pulang hadiah RM4,000 manakala naib juara menerima RM2,000.

Beliau amat gembira untuk merangkul gelaran juara kebangsaan itu selepas gagal dalam cubaannya sebelum ini.

“Saya sangat gembira memenangi kejohanan kebangsaan ini yang sememangnya melonjakkan keyakinan saya untuk dua lagi kejohanan di New Zealand bulan hadapan, kata Yuen yang tewas kepada lawan yang sama dalam perlawanan akhir kejohanan, tahun lepas.

Kesemua mereka yang tewas dalam perlawanan separuh akhir kategori lelaki dan wanita perdana masing-masing menerima wang tunai RM1,000.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here