Nicol mara ke final Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2017

0
73



KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menepati ramalan mara ke final apabila menewaskan Andrea Lee pada aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2017 di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini pada Khamis.

Nicol, bagaimananpun dikejutkan apabila tumpas 6-11 di set pertama sebelum bangkit di tiga set berikutnya dengan kemenangan 11-4, 11-4 dan 11-4 dalam masa 31 minit perlawanan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, pemain berusia 33 tahun itu mengakui lawannya menampilkan permainan meyakinkan terutamanya pada set pertama.

“Pada set kedua, saya perlu berada di hadapan serta memberi tekanan terhadap beliau, selain mengekalkan rentak permainan sehingga tamat perlawanan.

“Pada set ketiga dan keempat, saya tidak memberi beliau banyak ruang untuk bergerak,” kata Nicol yang merupakan pilihan utama kejohanan.

Pada satu lagi aksi separuh akhir, pilihan kedua Rachel Arnold menewaskan Teh Min Jie 11-4, 11-8, 11-9 untuk berdepan Nicol pada perlawanan akhir hari ini.

“Bagi perlawanan akhir menentang Nicol, saya akan berusaha memberikan yang terbaik dan mengheret perlawanan sekurang-kurangnya selama 30 minit,” kata Rachel.

Sementara itu dalam kategori lelaki, juara bertahan dan pilihan utama Nafiizwan Adnan menewaskan Syafiq Kamal 11-3, 11-2, 12-10 dalam masa 27 minit perlawanan untuk mara ke final bertemu Ivan Yuen, yang menumpaskan Ng Eain Yow 11-9, 11-8, 11-7.

“Saya sudah berdepan Ivan sebanyak dua kali dalam tempoh tiga minggu lepas, di Chennai, India dan Terbuka Switzerland. Di India saya menang 3-1, namun tewas 1-3 di Switzerland.

“Saingan pastinya sengit kerana masing-masing mahukan kemenangan, tambahan pula Ivan mahu meraih gelaran kebangsaan pertamanya,” kata Nafiizwan, yang juga juara kebangsaan dua kali.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here