Nilai hartanah di Meru Raya meningkat sejak pembinaan MAPS

0
14

IPOH: Nilai hartanah di sekitar kawasan Meru Raya di sini dijangka meningkat kira-kira 40 hingga 50 peratus sejak kewujudan Movie Animation Park Studios (MAPS), kata Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak itu berkata pada 2014, nilai tanah di kawasan itu hanya RM48 bagi setiap kaki persegi dan meningkat kepada lebih RM100 satu kaki persegi sejak tahun lepas.

“Pembangunan di Meru Raya kini berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Isnin.

Mohamad Zahir yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kamunting itu turut menafikan dakwaan pemimpin pembangkang kononnya MAPS membuat pinjaman bank sebanyak RM1.9 bilion.

Beliau berkata, pinjaman yang dibuat adalah sebanyak RM280 juta, menerusi bank-bank tempatan dan ia telah mendapat kelulusan syarikat dan diumumkan selaras dengan ketetapan peraturan penyenaraian Bursa Malaysia.

MAPS yang dibuka pada 26 Jun, 2017 dibina di kawasan seluas 21 hektar dengan terdapat lebih 40 tarikan unik dan enam tema animasi terkemuka dunia.

Mengenai pembangunan Bandar Tasik Amanjaya di Tronoh dekat sini, Mohamad Zahir berkata projek itu belum dapat diteruskan kerana wujud lapan kes mahkamah berkaitan yang dikemukakan oleh penduduk setinggan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 22 pemilik rumah setinggan di kawasan itu bukan golongan miskin sebaliknya mereka ialah setinggan komersial yang memperolehi keuntungan jutaan ringgit hasil meneroka tanah kerajaan sejak bertahun-tahun.

“Malangnya, terdapat pihak yang berkepentingan bertindak menghasut mereka supaya mendapatkan injunksi mahkamah namun pada masa yang sama mereka mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membuat pembangunan di kawasan itu,” katanya.

Mengulas mengenai peniaga yang diarahkan mengosongkan pusat beli-belah Megoplex di Medan Gopeng di sini, Mohamad Zahir berkata premis perniagaan itu semakin usang dan mereka diminta berpindah ke Kompleks Silveritage yang terletak berhampiran dengan Megoplex.

“Walaupun kadar sewa lot kedai ialah RM2,000 sebulan di kompleks berkenaan, peniaga dari Megoplex hanya perlu membayar kadar sewa RM500 sebulan selain bantuan wang tunai untuk membantu mereka berpindah,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here