Nina tak kisah diberi watak ibu

0
30


[email protected]

PELAKON, Datin Nina Juren. – Foto Nurul Syazana Rose Razman.

KUALA LUMPUR: Akur zaman kegemilangan sebagai heroin pada era 1990-an sudah lama berlalu, Datin Nina Juren, 46, menganggap watak sebagai ibu kerap disandangnya kini sesuai dengan peningkatan usia.

Beliau yang kembali aktif dalam lakonan sejak dua tahun lalu berkata, perkara itu perkembangan biasa dalam industri seni, apatah lagi dengan kebangkitan ramai bakat baharu.

“Seperti dalam perkahwinan di alam realiti juga, status isteri kemudian bertukar menjadi ibu. Jadi, ia bukanlah perkara pelik. Saya sendiri tidak kisah andainya diberikan watak pembantu.

“Saya tahu, memang ada pelakon yang pernah menjadi heroin, menolak tawaran melakonkan peranan ibu. Bukan sekadar pelakon wanita, aktor pun ada yang tak mahu watak berusia sebegitu.

“Saya pula tidak melihat watak ibu sebagai beban. Usia juga bukannya semakin menurun, jadi apa saja watak dihulurkan, saya akan galas sebaik mungkin,” katanya.

Nina atau nama sebenarnya, Haznina Juren Haniff berkata, watak ibu atau tambahan memudahkan dirinya membahagikan masa antara lokasi dan kehidupan peribadi.

“Kalau melakonkan watak ibu, ia tidak mengambil masa seharian di lokasi. Ia sangat fleksibel. Saya boleh aturkan tanggungjawab saya di rumah. Ia berbeza dengan suasana ketika melakonkan watak heroin dulu, apabila keluar rumah pada awal pagi dan pulang pada tengah malam,” katanya.

Nina yang kembali ke arena lakonan menerusi drama MAID berkata, rutin hidupnya juga tidak terganggu walaupun terbabit dengan penggambaran drama.

“Sebelum ke lokasi, saya memasak lauk untuk suami dan anak-anak. Mereka hanya perlu memanaskan juadah kalau nak makan. Sekalipun ada pembantu rumah, anak dan suami memang nak air tangan saya sendiri.

“Masakan yang saya sediakan pula ringkas saja. Kalau ada hidangan tambahan yang mereka ingin makan, pembantu rumah boleh sediakan,” katanya yang masih diingati menerusi watak Zita dalam filem Lenjan yang ditayangkan pada 1998.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here