N'Koudou julang Spurs

0
38
Advertisement



MINNEAPOLIS, Amerika Syarikat: Tottenham Hotspur yang kehilangan ramai tonggak mengakhiri kempen pramusim di sini dengan kemenangan 1-0 ke atas AC Milan, hari ini.

Gol kemenangan kelab Liga Perdana Inggeris itu ke atas Milan di Stadium Bank AS dijaringkan oleh Georges-Kevin N’koudou pada minit ke-47.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu kehilangan sembilan pemain utama berikutan tugasan di Piala Dunia selain mengalami kecederaan.

Pengurus dari Argentina itu melakukan enam perubahan daripada kesebelasan utama yang tewas kepada Barcelona, minggu lalu dengan menyenaraikan pemain remaja, Ty Eyoma, Anthony Georgiou, George Marsh dan Oliver Skipp.

Begitupun, mereka berjaya mengharungi babak pertama dengan baik malah sekalipun hampir dibolosi Milan menerusi tandukan Patrick Cutrone, ia diselamatkan penjaga gol Michel Vorm.

Beberapa minit selepas babak kedua bersambung, N’koudou yang memperoleh hantaran baik melancarkan serangan bagi menewaskan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma.

Penjaga gol gantian Spurs, Paulo Gazzaniga juga dipaksa melakukan beberapa aksi menyelamat hebat tetapi pertukaran pemain yang dilakukan kedua-dua pasukan mematikan rentak permainan sekali gus tiada lagi jaringan dapat disaksikan.

Sorakan terkuat pada perlawanan itu daripada 31,264 peminat yang hadir adalah apabila Spurs memasukkan Christian Eriksen dan Son Heung Min selepas sejam perlawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here