Nora bersedia timang anak kedua

0
27


JAKARTA: Pelakon, Nora Danish, mengakui rindu untuk kembali menimang cahaya mata selepas melahirkan anak pertama, lapan tahun lalu.

Nora, 35, yang ditemui pada malam gala filem Bukan Cinta Malaikat, di sini malam tadi, berkata perkahwinan keduanya bersama Nedim Nazri menjadi antara sebab beliau mahu memiliki anak lagi.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 30 Mac lalu selepas beberapa tahun bercinta.

“Alhamdulillah, selepas hampir empat bulan perkahwinan kami, saya kini bersedia untuk memiliki anak semula. Terus terang, ia juga antara sebab utama kenapa saya berkahwin kerana rindu untuk kembali mengandung dan melahirkan cahaya mata.

“Bagi saya, anak adalah anugerah yang dikurniakan Allah sebagai pengikat kasih dan menguatkan lagi hubungan saya dengan suami. Lebih-lebih lagi, anak saya, Rayqal, sudah pun berusia lapan tahun dan dia sendiri sangat teringin mempunyai adik untuk menjadi temannya,” katanya.

Nora atau nama sebenarnya, Nora Danish Mohd Hanif, menambah sejak berkahwin, beliau dan suami sentiasa berikhtiar agar segera diberikan rezeki menimang anak kecil.

“Begitupun, kami bukanlah merancang, sebaliknya sentiasa berikhtiar. Semuanya saya serahkan kepada Allah dalam menentukan rezeki kami,” katanya.

Sebelum ini Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli dan mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal Ramli.

Sementara itu, filem lakonannya, Bukan Cinta Malaikat, yang turut dibintangi Ashraf Muslim dan Dynas Mokhtar bakal menemui penonton di 80 pawagam di republik terbabit, mulai Khamis ini.

Karya kerjasama antara dua negara itu turut membariskan pelakon Indonesia seperti Fachri Albar, Donita, Dewi Irawan, Joshua Pandeleki, Iqbal Pakula, Edi Brokoli dan Dewi Amanda.

Diarahkan oleh Aziz M Osman hasil terbitan produksi Ace Motion Picture Sdn Bhd dan Ganesa Perkasa Films, ia dijangka diputarkan di pawagam negara ini pada Januari tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here