Nora cari kekuatan sambut Ramadan tanpa suami

0
99


Perkongsian di laman Instagram milik Nora.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nora Ariffin mengakui perlu mencari kekuatan meraikan kedatangan Ramadan yang kali pertama disambut tanpa suami tercinta, Johan Nawawi, yang menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mac lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, penyanyi lagu Sandiwara dan Hanya Satu itu berkata, dirinya mencuba sedaya upaya untuk tidak menitiskan air mata terutama apabila anak bongsunya, Putri Nur Fatehah, 5, meluahkan kerinduan terhadap arwah suaminya.

“Selamat menyambut Ramadan. Saya sedang mencuba sedaya upaya untuk tidak menitiskan air mata. Hanya Allah yang tahu. Ketika tarawih, tiba-tiba Putri meluahkan rindu terhadap arwah papanya.

“Berdoalah sayang, semoga kita bertemu papa di jannah nanti, insya-Allah. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada kami sekeluarga,” luah Nora menerusi akaun Instagram miliknya.

Johan menghembuskan nafas terakhir jam 6.30 pagi pada 24 Mac lalu di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) kerana serangan jantung.

Allahyarham adalah komposer terkenal yang mencipta nama sejak dekad 1980-an dan antara sentuhan popular pernah dihasilkannya termasuk Hanya Satu, Desa Tercinta, Samudera dan Naluri (Hadirlah Kekasih) yang dinyanyikan Nora.

Sepanjang kariernya sebagai komposer, Allahyarham turut menghasilkan lagu berunsur ketuhanan seperti Erti al-Fatihah yang dinyanyikan anaknya, Putri Nur Dahlia.

Lagu itu dimuatkan dalam siri animasi Ummi – Ceritalah Pada Kami! terbitan Hud-Hud Media Sdn Bhd dan Erama Records Sdn Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here