NS hidup peluang kekal liga

0
99
Advertisement



NEGERI Sembilan (NS) kembali mendapat rentak terbaik apabila berjaya menewaskan Selangor 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu dapat menghidupkan sedikit peluang buat skuad Hobin Jang Hobin untuk kembali bernafas dalam usaha mengekalkan kedudukan dalam liga utama itu musim depan.

Turun dengan misi mempertahankan maruah selepas merekodkan lima kekalahan berturut-turut, NS dilihat mendapat sedikit rentak terbaik apabila dapat memulakan jaringan menerusi Angel Guirado pada minit ke-12.

Bagaimanapun, hasil serangan balas pihak lawan dan kelekaan bahagian benteng tuan rumah, penyerang Selangor, Rufino Segovia menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Jaringan itu pantas mengejutkan anak buah Mario Lemos sebelum meningkatkan serangan dan hasilnya, mereka memperoleh sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan, A Namathevan.

Flavio Beck Junior yang menyempurnakan sepakan itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan Norazlan Razali bagi gol kedua Negeri Sembilan pada minit ke-17.

Peluang NS untuk menambah gol hampir menjadi kenyataan namun hantaran lintang ke bahagian tengah oleh Nicolas Velez pada minit ke-34, gagal disambar dengan baik Mohd Aizulridzwan Razali sambil Mohd Aiman Mohd Khalidi turut mensia-siakan peluang.

Bersambung babak kedua, Selangor menggandakan asakan dalam usaha mendapatkan gol penyamaan dan pemain berpengalaman, Amri Yahya dimasukkan pada minit ke-60 dalam usaha memburu gol.

Bagaimanapun, NS terus melebarkan lagi jurang menerusi gerakan pantas Velez yang menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-73.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here