Nyawa terancam dibadai Mora

0
53



Kuala Lumpur: Nyawa kira-kira 300,000 pelarian Rohingya di tiga kem di Bangladesh, kini terancam susulan bencana Taufan Mora yang memusnahkan kem pelarian di kawasan itu sejak kelmarin.

Kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya itu hanya diperbuat daripada plastik dan diterbangkan ketika ribut melanda.

Bencana alam itu menyebabkan kehidupan pelarian dan penduduk di kawasan berkenaan terjejas hingga terpaksa dipindahkan di tempat perlindungan selamat.

Mendedahkan perkara itu, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia EZ Qurban di Cox’s Bazar Mohammad Arshad Ullah berkata, hujan lebat dan ribut tanpa henti sejak malam kelmarin memburukkan lagi keadaan.

“Penduduk di kawasan ini dalam keadaan kelam- kabut menyelamatkan diri masing-masing berikutan berlakunya banyak kejadian tanah runtuh yang membahayakan nyawa mereka.

“Kerajaan sudah mengeluarkan amaran kelas 10 iaitu tahap bahaya dan setiap penduduk diminta mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri,” katanya.

Menurutnya, tiga kem pelarian yang terjejas teruk itu adalah kem Kutupalong di Cox’s Bazar, kem Leda di Teknaf dan kem Nila.

Ditanya wartawan berhubung bantuan kemanusiaan yang disalurkan pelbagai pihak kepada pelarian berkenaan, Arshad berkata barangan bantuan diterima turut terjejas ekoran taufan yang melanda.

Beliau berkata, dia akan membantu EZ Qurban menyampaikan sumbangan kepada pelarian Rohingnya di kem pelarian dan rumah anak yatim serta asnaf.

“Saya sedih dengan nasib menimpa penduduk dan masyarakat Islam di sini. Kebanyakan pelarian Rohingya ini amat memerlukan bantuan,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Maybank 5624 0550 5189 / CIMB 8602 9372 25 dan Bank Islam 1211 3010 0292 76 atas nama EZ Qurban Sdn Bhd.

Maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-61861911 dan melayari laman web www.ezqurban.org.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Rohingya di khemah Kutapalong Omar Farukh berkata, keadaan mereka amat teruk disebabkan tiada tempat tinggal dan terdedah kepada penyakit bawaan air.

“Hampir semua 10,000 khemah di Balukhali dan Kutupalong musnah. Kebanyakan kediaman sementara yang dibina runtuh,” katanya.

Sehingga kini 450,000 penduduk di kawasan pantai tenggara Bangladesh dipindahkan susulan Taufan Mora yang membadai dengan kelajuan 85 kilometer sejam sejak kelmarin.

Taufan yang terbentuk selepas monsun itu turut merosakkan kem pelarian penduduk Islam Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan junta tentera Myanmar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here