OIC perlu wakili suara dunia kutuk tindakan Trump – Penganalisis politik

0
136
Advertisement

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) disaran mewujudkan resolusi khusus mewakili suara dunia bagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Ahli Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof  Kamarulnizam Abdullah berkata, sudah tiba masa OIC mewakili suara sejagat selepas Pertubuhan-pertubuhan Bangsa Bersatu (OIC) dilihat gagal berbuat demikian dalam isu ini.

“OIC perlu menghasilkan satu resolusi melambangkan apa yang difikirkan rakyat antarabangsa. Ini kerana PPB tidak menggambarkan suara antarabangsa kerana dikuasai oleh AS,” katanya pada sidang media MPN mengenai isu pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel di Putrajaya hari ini.

Sidang Kemun­cak Luar Biasa OIC bermula hari ini di Istanbul disertai lebih 57 buah negara anggota bertujuan membincangkan kesan tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sementara itu, Kamarulnizam turut menggesa OIC agar lebih aktif dalam menyuarakan isu Palestin-Israel agar penyelesaian segera dapat dicapai.

“OIC harus lebih aktif dalam menyuarakan isu ini di peringkat antarabangsa termasuklah di semua persidangan dan rundingan bagi membuka mata dunia mengenai apa yang berlaku,” katanya lagi.

Malaysia antara negara anggota yang turut menyertai sidang kemuncak di Istanbul dengan delegasi diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri sebelum ini turut mengutuk tindakan AS itu malah menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here