Operasi penuh BA di Gatwick, Heathrow masih kalut

0
45


ANTARA penumpang yang terkandas di Heatrow. – Foto REUTERS

LONDON: Syarikat penerbangan British Airways (BA) berkata, kebanyakan sistem teknologi maklumat (IT) sudah berfungsi semalam, namun sesetengah pelancong kemungkinan berdepan pembatalan dan kelewatan masuk hari ketiga berturut-turut.

Ia susulan kegagalan komputer global yang menyebabkan ratusan pesawatnya terkandas.

Ketua eksekutif BA, Alex Cruz berkata semalam, syarikat penerbangan itu beroperasi ‘hampir sepenuhnya’ di Lapangan Terbang Gatwick di sini dan bercadang memulakan semula semua perkhidmatan jarak jauh dari Heathrow, namun masih berdepan kelewatan serta pembatalan sesetengah penerbangan jarak dekat.

BA berkata, ia akan mengendalikan operasi penuh di Gatwick hari ini dan bercadang melaksanakan penerbangan jarak jauh berjadual penuh serta lebih banyak penerbangan jarak dekat di Heathrow.

Syarikat penerbangan itu membatalkan semua penerbangan dari Heathrow dan Gatwick Sabtu lalu selepas masalah IT, yang dipersalahkan berikutan isu bekalan kuasa.

Ia sekali gus menyebabkan ribuan pelancong dalam keadaan huru-hara ketika cuti hujung minggu di Britain.

Cruz memohon maaf dalam satu kenyataan video: “Saya tahu ia adalah saat amat teruk buat pelanggan.”

Penumpang berdepan barisan panjang berjam-jam lamanya untuk mendaftar masuk, melaporkan kehilangan bagasi atau menempah semula penerbangan di Terminal 5, hab BA di Heathrow.

Cruz berkata, bagi mengurangkan kesesakan teruk, pelancong hanya dibenarkan masuk ke dalam terminal 90 minit sebelum penerbangan.

Penumpang, sesetengahnya bermalam di lapangan terbang, menunggu dengan penuh kecewa apabila mereka dapat meneruskan perjalanan.

“Semua orang kecewa. Ada yang menangis. Kami menempah semula tiket ke Venice malam ini, yang terpaksa dibatalkan.

“Justeru kami terpaksa berada di Heathrow dan mereka belum membayar pampasan. Kami terkandas di sini dan British Airways merosakkan bulan madu kami,” kata Melanie Ware yang terbang dari Los Angeles untuk bulan madu di Venice. -AP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here