Oppo R9s Plus memang mengancam

0
96



Selepas mendapat hasil jualan memberangsangkan daripada model Oppo R9s, Oppo sekali lagi bertindak berani dengan memperkenalkan Oppo R9s Plus.

Walaupun memiliki reka bentuk yang hampir sama seperti Oppo R9s, sudah pasti model terbaru berkenaan tampil dengan ciri dipertingkatkan.

Antara perbezaan utama kedua-dua model terbabit adalah saiz skrinnya, pemprosesan, RAM dan saiz kamera masing-masing.

Jika dahulu Oppo R9s hadir dengan skrin berukuran 5.5 inci, kini Oppo R9s Plus tampil dengan saiz skrin lebih besar pada ukuran 6.0 inci bersama paparan HD penuh untuk memberikan pengalaman layaran yang lebih memuaskan kepada penggunanya.

Daripada aspek pemprosesan pula, model terbaru Oppo ini dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 653 dengan sokongan sistem operasi ColorOS 3.0 berasaskan Android 6.0, berupaya untuk menjalankan operasi telefon pintar pada tahap yang lancar.

RAM pula ditambah menjadi 6GB untuk mempertingkatkan kelajuan layaran tetapi pengeluar masih mengekal saiz storan sama iaitu 64GB.

Bagaimanapun, saiz storan berkenaan cukup besar dan mungkin sesetengah pengguna tidak perlu menggunakan kad microSD sebagai sokongan tambahan.

Untuk bahagian kamera, Oppo R9s Plus didatangkan dengan kamera belakang 16MP f/1.7 bersama sokongan OIS yang mampu membenarkan pengguna untuk merakam pelbagai jenis gambar termasuk permandangan pada kualiti terbaik.

Namun begitu, jika pengguna merakam foto dalam persekitaran kurang sesuai seperti di tempat gelap mahupun kurang pencahayaan, gambar yang terhasil dilihat tidak setaraf dengan kualiti yang diuar-uarkan.

Begitu juga sekiranya merakam video. Ciri ini perlu diperbaiki agar tidak mengecewakan pengguna jenama Oppo.

Manakala kamera depan 16MP pada apertur f/2.0 pula berfungsi untuk memberikan pengalaman selfie menakjubkan kepada penggemar swafoto.

Selepas menghabiskan masa dengan merakam detik indah, pengguna tidak perlu gusar akan tenaga bateri kerana ia dibekalkan dengan 4,000mAh kapasiti, mampu tahan lama sehingga lebih 11jam.

Sekiranya terlupa untuk mengecas peranti, pengguna juga tidak perlu risau apatah lagi dengan sokongan sistem pengecasan pantas VOOC, Oppo R9s Plus mampu melakukan pengecasan terpantas.

Oppo R9s Plus kini boleh didapatkan di kedai pengedar sah berdekatan anda pada harga RM2,498.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here