Padah lawan arus

0
25



Shah Alam: Akibat menunggang motosikal menongkah arus, seorang lelaki maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 29.6, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menghala Klang di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi, mangsa, G Kumaran, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang melawan arus di lorong paling kanan lebuh raya.

“Setibanya di tempat kejadian, motosikal mangsa bagaimanapun bertembung dengan sebuah kereta Toyota Altis menghala ke arah Klang.

“Ia mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan dan parah. Dia kemudian disahkan maut di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya, di sini, semalam.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemandu kereta, lelaki berusia 37 tahun hanya cedera ringan,” katanya.

Shafien berkata, polis masih menjalankan siasatan terutama mengenal pasti punca kemalangan itu.

“Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya segera menyalurkannya di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here