Pakar: Teruskan pelaksanaan TPPA walaupun tanpa AS

0
52



Baki 11 negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) perlu melonjakkan usaha bagi merealisasikan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas itu biarpun Amerika Syarikat (AS) bertindak menarik diri daripada pakatan berkenaan.

Ketika menegaskan perkara itu, pakar yang juga Felo Kanan Peterson Institute for International Economics AS, Jeffrey J. Schott berkata ini penting kerana perjanjian itu dapat membantu rantau ini meneruskan agenda usaha penyepaduan serantau.

Bercakap kepada Bernama di luar Forum Asia Pasifik (APR) ke-31 di ibunegara berakhir Rabu lepas, beliau berkata ini berikutan sebahagian besar peruntukan TPP itu menyentuh aspek pembaharuan ekonomi yang dapat membantu negara-negara terbabit menjadi lebih produktif, berdaya saing serta menarik untuk tujuan pelaburan.

Malah, Schott juga menyifatkan pentadbiran Presiden Donald Trump melakukan kesilapan strategik apabila bertindak menarik diri daripada TPP kerana mereka sebaliknya bakal berdepan kesukaran mewujudkan perjanjian perdagangan baharu yang lebih komprehensif kerana TPP sudah menepati kriteria itu.

Trump bertindak mengumumkan keputusan rasmi AS menarik diri daripada TPPA sewaktu mula menyandang tugasnya pada awal tahun ini, sekali gus menyebabkan pakatan itu kekal dianggotai 11 negara lain iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Vietnam, Jepun, Australia, New Zealand, Kanada, Chile, Mexico dan Peru.

Mengulas selanjutnya, Schott berkata TPP – sama ada disertai AS atau tidak – masih boleh dilaksanakan kerana 11 negara terbabit tidak memerlukan perjanjian itu bagi tujuan mendapat akses ke pasaran AS kerana sudah mempunyai akses terhadap kemudahan berkenaan.

“Ada beberapa sekatan dalam pasaran AS. Dalam kebanyakan bidang misalnya, pasaran (AS) itu secara relatifnya terbuka tetapi untuk negara TPP lainnya, ia (perjanjian) dapat membantu mereka meneruskan usaha pembaharuan domestik dan ekonomi yang diperlukan bagi menghapuskan sekatan dengan pasaran lain.

“Bagi Malaysia misalnya, ini penting kerana membolehkan negara ini mendapat akses lebih baik ke pasaran Jepun. Itulah yang akan berlaku sekiranya 11 negara lain TPP itu meneruskan apa yang telah dirundingkan,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini TPPA, beliau berkata 11 negara itu kini dalam proses berusaha untuk meneruskan (pelaksanaan) perjanjian itu dan memanfaatkannya secara konstruktif demi memacu pertumbuhan ekonomi di negara masing-masing.

Kesemua 11 negara itu dijadual bertemu pada November depan bersempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Vietnam.

Pada program APR berkenaan, Schott membincangkan topik bertajuk ‘Whither Economic Cooperation in the Asia Pacific: More Ingredients for the Spaghetti Bowl?’

Bertemakan ‘”Masa Depan Asia Pasifik: Isu dan Institusi Yang Sentiasa Berubah,’ APR dianjurkan oleh Institut Keselamatan dan Kajian Antarabangsa (ISIS) dan disokong oleh ASEAN-ISIS.

Ia menghimpunkan kira-kira 300 peserta termasuk wakil kerajaan, penggubal dasar, sektor korporat dan ahli akademik.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here