'Paling kurang satu pingat emas'

0
29



Kuala Lumpur: Usahanya tidak pernah terhenti dan pelumba pecut berbasikal negara Anuar Manan (gambar) berharap temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) akan meninggalkan kenangan manis dalam kamus hidupnya sebagai atlet negara.

Turun beraksi dalam acara lebuh raya dan kriterium Anuar yang kini bersama pasukan Terengganu Cyling Team (TSG) berharap sekurang-kurangnya dapat menghadiahkan satu emas buat negara.

Katanya, dia tidak pernah berhenti berusaha malah berdasarkan prestasi terkini, dia yakin skuad negara dapat mempertahankan dua emas dimenangi di Singapura, dua tahun lalu.

“Saya menyasarkan sekurang-kurangnya satu emas tapi apa yang penting adalah memastikan pingat itu tidak terlepas daripada tangan negara lain.

“Bagaimanapun semuanya terpulang kepada strategi pasukan dan mungkin ia bakal berubah,” katanya.

Berdasarkan laluan dimaklumkan, Anuar berkata skuad berbasikal negara mempunyai peluang cerah untuk meraih emas kriterium yang mana perlumbaan akan berlangsung di sekitar kawasan Putrajaya dan memberi kelebihan kepada pakar pecut.

Justeru bagi mempertajamkan kayuhan, enam pelumba TSG yang berada dalam Program Kita Juara membabitkan pemenang emas dua tahun lalu, Mohd Harrif Salleh, Mohd Zamri Salleh, Adiq Husainie Othman, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki dan Anuar akan berkampung di Melbourne, Australia bulan depan.

Katanya, mereka akan berlepas ke Melbourne selepas Aidilfitri yang dilihat peluang terbaik buat skuad berbasikal negara memantapkan kayuhan.

“Kami dijadualkan berada di sana selama sebulan setengah dan hanya akan pulang seminggu sebelum acara berbasikal bermula.

“Latihan di Melbourne sangat membantu memperkemaskan kayuhan kami kerana di sana kami akan dapat mengukur kemampuan apabila setiap minggu akan menyertai perlumbaan,” katanya.

Dua tahun lalu, skuad berbasikal negara menghadiahkan dua emas dan tiga gangsa. Emas disumbangkan Harrif Salleh dalam acara lebuh raya dan kriterium manakala Anuar meraih gangsa individu acara lebuh raya.

Skuad wanita pula menghadiah dua gangsa masing-masing menerusi Ju Pha Som Net dan Nurul Suhada Zainal dalam acara kriterium dan lebuh raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here