Pam dadah dalam tandas

0
54



Kuala Lumpur: Dua pelajar ponteng sekolah semata-mata mahu menyertai pesta liar dadah dianjurkan secara sulit di sebuah pangsapuri mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, kelmarin.

Dua pelajar masing-masing berusia 14 dan 15 tahun itu antara 33 individu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam operasi dijalankan bermula jam 6 petang hingga 5 pagi, seramai 47 individu yang menyertai parti berkenaan diperiksa.

Bagaimanapun, 33 daripada mereka berusia lingkungan 14 hingga 28 tahun didapati positif mengambil pelbagai jenis dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awal daripada penghuni pangsapuri itu susulan aduan bunyi bising di kediaman itu.

“Ketika serbuan dilakukan, mereka (suspek) mengambil masa lama untuk membuka pintu sebaik menyedari kediaman itu diserbu polis.

“Suspek dipercayai sengaja melengah-lengahkan masa membuka pintu kerana mahu membuang dadah dengan mengepamnya ke dalam tandas.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut menemui dua pil methaphetamine di dalam kediaman itu. Kami percaya parti liar itu sudah berlangsung beberapa jam sebelum serbuan dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Mohd Sukri berkata, semua yang ditahan membabitkan 25 lelaki dan tujuh wanita termasuk dua pelajar sekolah menengah.

“Mereka menerima jemputan ke parti liar berkenaan yang dibuat secara hebahan antara rakan terdekat sahaja.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, penganjur parti terbabit iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai membekalkan dadah kepada ‘tetamu jemputan’ lain bagi membolehkan mereka berhibur dalam keadaan khayal.

“Semua suspek ditahan reman tiga hari bermula 26 hingga 28 April ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here