Pantau kebersihan bazar Ramadan elak keracunan

0
85



Kuala Lumpur: Penjagaan dan kualiti kebersihan makanan di bazarRamadan di sekitar ibu kota masih perlu diperbaiki dan dipertingkatkan bagi mengelakkan isu pencemaran dan keracunan makanan daripada berlaku.

Pengarah Eksekutif Pembangunan dan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff berkata, walaupun kesedaran dalam menjaga kebersihan makanan sudah wujud dalam kalangan penjaja, namun jumlah sampel makanan tercemar yang diambil masih mencatatkan jumlah yang tinggi.

“Pada 2015, daripada 1,005 sampel makanan yang diambil, sebanyak 346 sampel atau 34.4 peratus didapati gagal menepati standard kebersihan makanan manakala pada tahun 2016, 229 (38.8 peratus) daripada 590 sampel makanan juga tercemar.

“Penjaja yang didapati melanggar standard ini akan dikenakan notis kompaun dan disenaraihitamkan oleh Jabatan Pelesenan dan Penjaja DBKL selain dilarang berniaga di mana-mana bazar Ramadan pada tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Program Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2017, di sini semalam. Turut hadir Pengarah Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Norhayati Abdullah serta Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sazali Harun.

Ibrahim berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 50 notis kompaun dikeluarkan kepada penjaja yang gagal menyediakan makanan bersih manakala 59 notis kompaun dikeluarkan menerusi aktiviti pemantauan sanitasi di gerai-gerai bazar Ramadan.

“Tahun ini, sebanyak 840 sampel makanan akan diambil dari 14 tapak bazar Ramadan utama di Kuala Lumpur dan juga membabitkan pemeriksaan dari aspek sanitasi ke atas penjaja dan gerai mereka,” katanya.

Antara standard kebersihan yang ditetapkan oleh Unit Keselamatan Makanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL ialah mendapatkan suntikan anti tifoid, memakai apron, sarung tangan dan topi semasa menjual makanan serta menyediakan penyepit untuk mengambil makanan.

Sementara itu, Dr Norhayati berkata jabatannya menyasarkan penurunan sebanyak 20 peratus dalam keseluruhan jumlah sampel makanan tercemar pada tahun ini.

Beliau turut menggesa pelanggan di bazar Ramadan agar segera menegur penjaja makanan yang tidak mengamalkan pengurusan pembersihan yang baik seperti berpakaian kotor, persekitaran tercemar dan sebagainya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here