Pasaran komputer peribadi terus mengecil

0
41


SAN FRANCISCO: Penghantaran komputer peribadi (PC) ke seluruh dunia terus mencatatkan penurunan pada suku kedua tahun ini.

Berdasarkan kepada perangkaan yang dikeluarkan Gartner, walaupun komputer peribadi mencatatkan penurunan tetapi ia masih menunjukkan kestabilan dari segi permintaan dan jualan.

Anggaran awal Gartner menunjukkan sebanyak 61.1 juta PC dihantar pada suku kedua tahun ini, penurunan sebanyak 4.3 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu.

Laporan Suku Tahunan Pengesan Peranti Komputer Peribadi Antarabangsa IDC pula menunjukkan sebanyak 60.5 juta PC dihantar dengan penurunan tahunan sebanyak 3.3 peratus.

Harga yang lebih tinggi disebabkan oleh bekalan komponen yang terhad, terutama pemacu keras yang menjadi antara faktor menghalang jualan.

Gartner menyatakan industri PC berada di tengah kemerosotan dalam tempoh lima tahun dan penurunan suku berterusan kali ke-11.

“Di tengah ketidakseimbangan dalam aliran pasaran dunia, pasaran PC global terus berkembang ke arah penstabilan. Kami menjangkakan momentum penggantian pasaran komersil akan menyumbang kepada pertumbuhan pasaran,” kata Pengurus Penyelidikan IDC, Jay Chou dalam satu kenyataan.

Chou menjangkakan permintaan pengguna untuk PC tetap berada di bawah tekanan, tetapi menyaksikan peningkatan potensi dari populariti komputer berkuasa untuk permainan dan mesin Windows yang baharu.

Faktor yang mempengaruhi jualan PC termasuk permintaan yang semakin meningkat untuk komputer riba Chromebook yang disokong oleh Google yang pada dasarnya bertindak sebagai gerbang perkhidmatan dan kuasa pengkomputeran yang dihoskan dalam internet awam.

Jualan Chromebook di seluruh dunia meningkat sebanyak 38 peratus tahun lalu, manakala pasaran PC keseluruhan menyusut enam peratus.

“Chromebook bukan pengganti PC seperti sekarang, tetapi ia mungkin berpotensi berubah sebagai pengganti PC jika beberapa syarat dipenuhi pada masa akan datang,” kata Penganalisis Utama Gartner, Mikako Kitagawa.

Katanya, sebagai contoh, infrastruktur sambungan umum perlu diperbaiki; penyambungan data mudah alih perlu menjadi lebih murah dan perlu mempunyai keupayaan lebih banyak di luar talian. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here