Pasport asing bukan satu 'kelebihan' di China

0
145
Advertisement

SHANGHAI: Semua pihak yang berada di China yang memiliki pasport asing tidak boleh menganggap diri mereka ‘kebal’ daripada undang-undang China ketika berada di negara itu.

Menurut kenyataan satu akhbar tempatan Global Times, negara Barat perlu memaklumkan kepada rakyatnya yang baharu memiliki kerakyatan bahawa pasport asing yang dimiliki tidak melindungi mereka daripada undang-undang China.

“Negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat wajar memaklumkan rakyat yang baharu diberikan kewarganegaraan secara naturalisasi bahawa pasport asing itu tidak kebal kepada undang-undang di China.

“Apabila mereka menjalankan sebarang aktiviti di China, mereka wajib mematuhi undang-undang negara itu,” katanya.

Kenyataan berkenaan merujuk kepada penahanan seorang lelaki Gui Minhai yang menganggap bahawa pasport Sweden yang diperolehi secara naturalisasi memberi perlindungan daripada undang-undang China.

Gui yang dilahirkan di China, bagaimanapun menjadi warganegara Sweden secara naturalisasi dan sering kembali ke China.

“Kebanyakan ‘orang asing’ seperti Gui bekerja dan menetap di China. Sebahagian daripada mereka mengambil kesempatan atas identiti mereka sebagai orang Cina tetapi memiliki warganegara asing dalam mencari keuntungan .

“Mereka juga dilihat mengharapkan perlindungan daripada dikenakan sebarang hukuman jika mereka melanggar undang-undang di China atas alasan memiliki pasport asing,” kata akhbar itu.

Anak perempuan Gui mengatakan bapanya yang merupakan penjual buku yang berpengkalan di Hong Kong ditahan Polis China dalam keretapi bulan lalu.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri Sweden Margot Wallström dalam satu kenyataan pada Isnin lepas berkata bahawa penahanan Gui adalah perkara yang sangat serius.

“Malah China juga telah melanggar peraturan antarabangsa dalam memberi sokongan konsular berikutan campur tangan dalam usaha pihak Sweden membantu Gui,” tambah beliau.

Namun akhbar itu membidas kenyataan Wallström bahawa sokongan konsular ada batasannya dan pihak China dan Sweden perlu menyelesaikan kemelut itu melalui perundingan.

“Pihak Sweden harus sedar bahawa mereka tidak boleh menjangkaui prosedur undang-undang China dalam usaha memberi sokongan konsular.

“Gui telah melakukan jenayah di China, maka pihak berkuasa China akan mengendalikan kes itu mengikut undang-undang China,” kata akhbar itu.

Pihak berkuasa China berkata bahawa Gui telah dibebaskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here