Pastikan produk usahawan PKS bertaraf dunia – Hamzah

0
83



AMPANG: Usahawan Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memastikan produk mereka mencapai kriteria barangan hipermarket sekali gus memudahkan prosedur eksport ke luar negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya juga sentiasa memastikan pelbagai aktiviti untuk memperkenalkan produk PKS untuk meningkatkan tahap penerimaan pengguna.

Jelasnya, antara program yang dilakukan adalah Program Pensampelan Makanan, Program Perdagangan dan Pembungkusan serta Program Suaian Perniagaan.

“Produk perlu mencapai tahap atau mengikut kriteria hipermarket. Ia akan memudahkan produk kita ke luar negara dan kita akan bantu untuk eksport ke luar negara.

“Saya akan cuba eksport, mereka ini bukan sahaja membantu syarikat sendiri malah negara.

“Kerana itu saya mahu mereka bekerjasama dengan KPDNKK dan kita boleh ikuti usahawan ini dengan lebih dekat lagi,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Program Citarasa Malaysia (PCM) di Tesco Extra Ampang di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai EKsekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie.

Pada majlis sama, Tesco Malaysia menyampaikan anugerah kepada 20 jenama PKS tempatan dengan nilai jualan paling tinggi di seluruh cawangan hipermarket itu di seluruh negara sepanjang tahun lepas.

Program KPDNKK dengan kerjasama Tesco Malaysia yang bermula dari 26 April sehingga 1 Mei depan itu bertujuan memberikan peluang kepada usahawan PKS tempatan khususnya bumiputera bagi melaksanakan pelbagai aktiviti jualan dan mempromosikan produk-produk keluaran mereka.

Program itu turut mensasarkan jualan keseluruhan berjumlah RM150,000 untuk enam hari mini karnival PKS berlangsung.

Sebanyak 24 usahawan PKS mengambil bahagian dengan 13 jenama PKS tempatan disenaraikan Tesco manakala 11 lagi merupakan jenama baru PKS yang dicadangkan KPDNKK.

Daripada 24 jenama PKS berkenaan, 22 PKS adalah berasaskan makanan manakala dua lagi merupakan produk barangan rumah.

Sehingga kini, KPDNKK berjaya membantu 576 usahawan PKS tempatan melibatkan sejumlah 9,711 produk dalam program berkenaan.

Dalam pada itu kata Hamzah, usahawan PKS juga perlu memastikan kapasiti bagi setiap produk mereka boleh memenuhi permintaan selepas dipasarkan di luar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here