Pasukan lebih baik tidak semestinya menang – Modric

0
301
Advertisement



KAPTEN Croatia, Luka Modric percaya pasukannya beraksi lebih baik daripada Perancis pada aksi final Piala Dunia, awal pagi tadi, tetapi mengakui: ‘Kadang kala pasukan lebih baik tidak menang’.

Seperti Oliver Kahn, Zinedine Zidane dan Lionel Messi sebelumnya, Modric mengalami kekalahan tetapi dipilih sebagai penerima Bola Emas kerana menjadi pemain terbaik kejohanan.

Perancang tengah berusia 32 tahun itu memberitahu pemberita dia amat bangga untuk menerima anugerah berkenaan tetapi begitu berharap memenangi trofi Piala Dunia lagi buat Croatia.

Perancis merakam kemenangan selesa 4-2, tetapi bernasib baik untuk mendahului 2-1 di awal permainan dan bergelut mengatasi penguasaan bola Croatia sebelum jaringan hebat ketiga Paul Pogba pada minit ke-59.

Ditanya jika dia merasa Croatia kurang bernasib baik, Modric berkata: “Ya, saya juga fikir begitu. Semua orang merasakan hal yang sama iaitu kami beraksi dengan baik.

“Saya fikir kami adalah pasukan lebih baik tetapi kadang kala pasukan lebih baik tidak semestinya menang.”

Bintang Real Madrid itu menyifatkan gol kedua Perancis pada minit ke-38 sebagai ‘titik permulaan kegagalan’ mereka, selepas Ivan Perisic kembali memadamkan jaringan sendiri Mario Mandzukic.

Perancis mendahului semula aksi apabila pengadil Nestor Pitana menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk menghadiahkan penalti kerana bola terkena tangan Perisic.

Bola itu sememangnya mengenai tangan Perisic dan menghalang daripada melintang ke depan pintu gol Croatia, tetapi ia berlaku dengan begitu pantas dan secara tidak sengaja ketika percubaan Blaise Matuidi menyungkit bola sepakan bebas diambil Antoine Griezmann gagal.

“Kami amat terkejut apabila penalti diberikan, ia bukannya penalti daripada pandangan saya, dan selepas itu kami gagal untuk kembali bangkit,” kata Modric.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here