Pasukan petugas siasatan 1MDB Malaysia, Singapura setuju kerjasama

0
97
Advertisement

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama untuk membawa pulang sejumlah wang kepada kerajaan Malaysia yang dipercayai telah diseleweng daripada 1MDB.

Persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat antara pasukan petugas khas Malaysia dan Singapura itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia, kerjasama antara kedua-dua pihak juga bertujuan bagi mengumpul bahan bukti serta mengesan saksi-saksi di Singapura secepat mungkin.

“Pasukan ini juga akan melakukan ‘money trail’ (jejak aliran wang) bagi mengesan wang serta aset-aset yang masih wujud,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat hari ini dihadiri sembilan pegawai kanan pasukan siasatan Singapura yang terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, Autoriti Kewangan Singapura (MAS).

Pihak Malaysia pula diwakili Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia yang terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Empat ketua bersama Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia iaitu bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador turut menghadiri mesyuarat itu.

Pada 21 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes 1MDB termasuk pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik negara berkenaan. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here