Paulus ganti Soon Kit

0
443
Advertisement



WALAUPUN baru tiga bulan kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Paulus Firman diberi kepercayaan apabila dilantik sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu bagi menggantikan tempat Cheah Soon Kit berkuat kuasa esok. 

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, pihaknya percaya di bawah kepimpinan Paulus, barisan pemain mampu mempamerkan prestasi lebih baik berbanding sekarang. 

“Selepas beberapa bulan Paulus datang, kami melakukan proses penilaian terhadap prestasinya secara keseluruhan dan begitu juga Soon Kit. Kami percaya pemain mampu menunjukkan prestasi lebih baik di bawah Paulus. 

“Soon Kit akan kekal sebagai jurulatih yang mana fokus utamanya adalah membimbing pemain muda di bawah 21 tahun. 

Kalau kita lihat, dia sudah membuktikan mampu melahirkan pemain muda berkualiti sebelum ini,” kata Chin Chai ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini. 

Ditanya adakah pertukaran kerusi ketua jurulatih berkenaan dibuat atas desakan pemain yang sebelum ini dikatakan kurang senang dengan cara Soon Kit, Chin Chai berkata: “Di BAM kami tidak akan tunduk kepada permintaan pemain. 

“Sebaliknya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian secara menyeluruh termasuk kemampuan jurulatih, hubungan kerja antara jurulatih dan hubungan antara jurulatih dengan pemain,” katanya. 

Selepas meletak jawatan daripada BAM pada November 2013, Paulus kembali memulakan tugas bersama badan induk itu pada April lalu bagi menggantikan tempat Rosman Razak yang dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih beregu wanita. 

Soon Kit pula diberi peranan ketua jurulatih beregu lelaki sejak BAM melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan pada Julai tahun lalu tetapi sejak di bawah pimpinan bekas pemenang pingat perak Olimpik Atlanta 1996 itu, barisan beregu gagal menunjukkan peningkatan yang konsisten.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here