PBB didesak beri tekanan kepada Russia

0
72


NEW YORK (PBB): Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, semalam mendesak Majlis Keselamatan PBB menggunakan ‘semua mata dan tekanan’ ke atas Russia, bagi menamatkan konflik di Syria.

Malah, Haley mahu Majlis Keselamatan mengambil tindakan sewajarnya, walaupun perlu berdepan kuasa veto dari Moscow.

“Hanya mereka (Russia) yang mampu menghentikannya, jika mereka mahu berbuat demikian. Kita perlu memberi tekanan kepada Russia,” kata Haley ketika merujuk kepada Russia, iaitu sekutu Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Setakat ini, Russia sudah menggunakan kuasa veto ke atas lapan resolusi terhadap Syria, sekali gus melindungi kerajaan Bashar daripada dikenakan tindakan.

Ia termasuk menyekat usaha Majlis Keselamatan mengutuk penggunaan senjata kimia yang mengorbankan puluhan nyawa rakyat Syria, baru-baru ini.

China turut menyokong langkah Russia dan sudah menggunakan kuasa veto ke atas enam resolusi Majlis Keselamatan.

“Saya akan terus memberikan tekanan kepada Majlis Keselamatan untuk bertindak, melakukan sesuatu, tanpa mengira sama ada Russia akan terus menggunakan kuasa veto, kerana suara kita perlu didengar,” kata Haley pada mesyuarat Majlis Keselamatan bagi membincangkan mengenai laluan bantuan kepada Syria.

Sementara itu, timbalan duta Russia ke PBB, Petr Iliichev memberitahu Majlis Keselamatan, bahawa Russia, Iran dan Turki berusaha untuk menamatkan permusuhan bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan.

“Tidak kira anda atau lain-lain rakan di barat yang mengucapkan walaupun sepatah perkataan mengenai apa yang anda lakukan untuk memperbaiki keadaan,” kata Iliichev. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here